11 hari solo road trip jelajah masjid sepanjang Ramadan. ‘Nak rasa suasana berbuka & tarawih di tempat orang’

Iklan

JELAJAH masjid sepanjang bulan Ramadan! Ya, itu antara inisiatif seorang pemuda yang sanggup merentas perjalanan sendirian sejauh 2,100 kilometer (km).

Hanya memandu kenderaan kompak jenama tempatan, Mohamad Asyraf Mohamad Radzi menjayakan misi buat pertama kali dalam hidupnya dengan Kancil kesayangannya.

Iklan
Iklan

Bermula dari Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan, beliau yang juga pereka sambilan itu meneruskan perjalanan secara solo pada 10 Mac lalu.

Iklan

Dengan duit simpanan sendiri, pemuda itu membelanjakan sekurang-kurangnya RM600 untuk kos hotel dan RM442 untuk petrol sepanjang perjalanan selama 11 hari.

Negeri yang menjadi destinasi persinggahan termasuk Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan lokasi terakhirnya, Masjid Sultan Idris Shah II yang merupakan Masjid Negeri Perak.

Iklan

Kepada SinarPlus, Mohamad Asyraf memberitahu bahawa idea untuk projek Jelajah Ramadan 1Malaysia sebenarnya sudah lama menjadi impiannya.

"Pada masa yang sama, saya ingin menunjukkan budaya berbuka puasa di masjid yang berlainan. Secara tidak langsung, ia dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk bersama mengimarahkan masjid,” katanya.

Kebolehan Kancil

Pemuda berusia 34 tahun itu juga aktif melakukan road trip demi menguji kebolehan kereta Kancil untuk menjelajah seluruh Malaysia dan negara jiran.

Sebelum ini, beliau sempat menghabiskan perjalanan sejauh 3,700 km ke Khao Yai, Thailand bagi mewakili pasukan Retrohavoc n Malaysia.

Menurutnya, jelajah itu juga bertujuan menunjukkan kepada orang ramai tentang keupayaan kereta Kancil yang mampu merentasi perjalanan jauh.

"Bagi saya, ini lebih kepada minat dalam dunia sukan permotoran, tetapi pada masa yang sama mahu menunjukkan kebolehan kereta sambil beribadah,” katanya yang turut memberikan sumbangan peribadi kepada setiap masjid yang dikunjungi.

Beliau yang merupakan anak jati Kemaman, Terengganu juga merancang untuk meneruskan misi sama pada tahun hadapan jika ada rezeki dan mungkin secara konvoi.