Suara lunak Tengku Permaisuri Selangor mengaji curi perhatian, titip nasihat bermakna. ‘Bacalah satu hari satu ayat pun tak mengapa…’

Iklan

PADA 10 malam terakhir Ramadan, setiap umat Islam berlumba-lumba merebut keberkatan dengan beribadah, termasuk bertadarus al-Quran.

Terbaharu, satu momen istimewa telah mencuri perhatian ramai apabila Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, memperdengarkan bacaan al-Quran secara siaran langsung.

Iklan
Iklan

Suara baginda yang lunak dan penuh ketenangan bukan sahaja memukau penonton, malah mendapat pujian daripada kerabat diraja serta netizen.

Apa yang lebih menarik, baginda turut berkongsi pengalaman peribadi serta titipan nasihat bermakna yang menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Iklan

Melalui program Geng Ngaji musim ke-6, penonton dapat melihat kelainan dalam slot kali ini apabila Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mencemar duli mengaji secara siaran langsung.

Iklan

Melalui hantaran di Instagram selangorroyalofficial, suara baginda yang lunak ketika memperdengarkan bacaan ayat 44 Surah Fussilat itu mendapat pujian ramai, antaranya komen daripada Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Masa pergi haji, sempat kami mengaji bersama di Madinah. Memang Tengku Permaisuri pandai mengaji dan suaranya lemak merdu. Alhamdulillah,” ulas Tengku Ampuan Pahang di ruangan komen.

Dalam program itu juga, hos sempat bertanya kepada Tengku Permaisuri tentang lauk kegemaran baginda ketika sahur dan berbuka. Jawapan yang diberikan amat merendah diri.

"Saya ini ringkas orangnya. Tuanku Sultan Selangor pun santap kurma sahaja untuk sahur, sama dengan saya juga. Manakala untuk berbuka, kami makan sahaja lauk yang dihidangkan. Tapi saya lebih suka lauk kampung. Telur dadar dengan ikan goreng pun sudah cukup,” ujar baginda.

Selain itu, Tengku Permaisuri juga sempat menitipkan pesanan bermanfaat buat seluruh rakyat Malaysia bersempena Ramadan yang bakal berakhir dalam beberapa hari lagi.

"Sebenarnya, saya ingin menasihatkan penonton di luar sana yang mungkin masih berusaha untuk memperbaiki bacaan al-Quran, teruskan perjuangan anda dan carilah guru-guru yang benar-benar layak untuk mengajar bacaan al-Quran supaya kita mendapat bimbingan yang terbaik.

"Seperti yang Imam katakan tadi, jadikanlah al-Quran ini sebagai pendamping kita dan kalau boleh, bacalah satu hari satu ayat pun tidak mengapa.

"Jangan tidak membaca langsung kerana amalan ini yang akan memberikan kita syafaat dan pertolongan di akhirat kelak.

"Saya doakan semoga segala urusan dipermudahkan bagi sesiapa yang berusaha untuk mempelajari dan mendalami al-Quran,” titah baginda.