SUASANA pilu menyelubungi ahli keluarga apabila seorang lelaki berusia 33 tahun ditemukan tidak bernyawa selepas terperangkap dalam insiden tanah jerlus yang berlaku di timur Seoul pada Isnin.
Menurut laporan media tempatan, mangsa yang dikenali sebagai Park merupakan tonggak utama keluarga, berkorban tenaga dan keringat demi menyara ibu serta adik perempuannya.
Pemergiannya secara tiba-tiba bukan sahaja meruntun hati keluarga, malah turut mengundang simpati rakan terdekat.
Kawan baik mangsa, Kim, mendedahkan bahawa Park dikenali sebagai seorang yang cekal dan tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam mencari rezeki.
Sejak pemergian bapa tercinta pada 2018 akibat kemalangan, Park sanggup bekerja tujuh hari seminggu tanpa rehat panjang demi memastikan keluarganya tidak pernah hidup dalam kesusahan.
Keperibadiannya yang rajin dan penuh tanggungjawab menjadikan dirinya dihormati dalam kalangan rakan-rakan.
"Tiada siapa boleh menafikan betapa kuat dia bekerja dalam hidupnya. Dia sangat berdedikasi kepada syarikatnya dan mengambil semua peluang kerja penghantaran yang ada pada waktu malam.
"Dia bekerja terlalu keras sehingga saya sendiri bimbang, dan saya masih tidak percaya bagaimana tragedi ini boleh berlaku," kata Kim.
Kim turut berkongsi kenangan manis bersama Park ketika zaman kanak-kanak.
Menurutnya, Park adalah seorang yang periang dan sering mengenakan pakaian watak anime kegemarannya. Malah, selalu menghiburkan rakan-rakan dengan jenaka spontannya.
Rakan sekerja Park di syarikat pengiklanan pula mendedahkan bahawa selain menjalankan tugasnya di pejabat, Park turut bekerja sebagai penghantar makanan selepas waktu kerja, bermula dari jam 5 petang hingga 2 pagi.
Sekadar makluman, pada malam kejadian, Park sedang melakukan penghantaran dengan menunggang motosikal miliknya sebelum secara tiba-tiba menjunam ke dalam tanah jerlus bersaiz gergasi dengan kedalaman 18 meter berhampiran satu persimpangan di Gangdong-gu, timur Seoul.
Mayat mangsa akhirnya ditemui selepas 17 jam operasi mencari dan menyelamat pada keesokan harinya sekitar jam 11.22 pagi dalam keadaan tertimbus lumpur, iaitu 50 meter dari lokasi kejadian.
Difahamkan, pembinaan laluan kereta api bawah tanah berdekatan dengan lokasi kejadian disyaki menjadi punca pembentukan tanah jerlus tersebut.