BERGELAR ibu buat kali pertama sememangnya satu pengalaman baharu yang penuh cabaran.
Begitulah yang dirasai oleh pelakon jelita, Datin Nur Atikah Suhaime apabila mengakui timbul perasaan cemburu terhadap pengasuh anaknya sendiri.
Menerusi perkongsian di TikTok, Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime meluahkan kesedihannya apabila melihat puteri sulungnya, Lyla Mulan Teh yang lebih selesa dengan pengasuh berbanding dirinya.
Lebih memilukan, pelakon filem Legenda Budak Hostel itu gagal menenangkan si kecil itu setiap kali meragam, sedangkan apabila berada dalam jagaan pengasuh, Mulan langsung tidak menangis.
"Tika rasa bayi Mulan lebih sayangkan pengasuh.
"Bila Mulan dengan pengasuh, elok sahaja. Tiada jerit dan menangis.
"Bila Tika ambil alih nak jaga, mulalah Mulan tak mahu bedung, tak boleh tidur, menangis dan menjerit,” luahnya.
Sebagai seorang ibu, Atikah tidak dapat menyembunyikan perasaan terkilan dan kecil hatinya apabila merasakan dirinya tidak cukup baik dalam menjaga anak sendiri.
Atikah turut berkongsi bahawa setiap kali Mulan menangis, suami tercinta, Datuk Lokman Teh akan acap kali memanggil pembantu rumah untuk menenangkan bayi comel mereka.
"Apa yang buat saya lebih sedih ialah setiap kali Mulan mula menjerit, suami cakap panggil pembantu.
"Macam saya tak diberi peluang yang cukup untuk menjadi ibu yang baik,” kongsinya.
Menurut bintang kelahiran Singapura itu, sebelum ini dia seorang yang sentiasa positif dan ceria dalam menghadapi apa sahaja cabaran hidup.
Namun, sejak melahirkan Mulan, emosinya tidak lagi stabil seakan-akan merasakan tekanan yang luar biasa, seolah-olah dirinya bukan lagi seperti dahulu.
"Maaf kepada pengikut saya kerana terpaksa melayan depresi selepas bersalin Tika ini.
"Sedangkan saya seorang yang berfikiran positif,” tambahnya.
Bagaimanapun, isteri kepada ahli perniagaan berjaya itu tetap menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang setia menyokongnya sejak dari fasa kehamilan hingga ke perjalanan menjaga bayinya.
Sekadar makluman, Atikah mendirikan rumah tangga bersama suami tercinta, Lokman Teh pada Januari tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada Mac 2025.