BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang secara spontan memberi komen"Selamat Pengantin Baru" dalam siaran langsung TikTok pelakon Fattah Amin dan penyanyi Amira Othman meraih perhatian ramai.
Bahkan, hal tersebut menimbulkan tanda tanya sama ada ia gurauan atau mempunyai makna tersirat.
Mengulas mengenai keterujaan warganet tentang perkara tersebut, tuan punya badan, Fattah mengakui dirinya terharu dan tersentuh dengan reaksi penyanyi nombor satu negara berkenaan.
Pemilik nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin bagaimanapun mengakui terkejut dan tidak menyangka Siti Nurhaliza menyertai siaran langsung tersebut. Tambahnya, beliau tidak dapat melihat komen penyanyi lagu Cindai itu kerana ia hanya muncul di siaran Amira sahaja.
Dalam keberkatan sepuluh malam terakhir Ramadan, bapa kepada seorang cahaya mata itu meluahkan rasa gembira apabila menerima komen positif daripada Siti Nurhaliza.
Baginya, kata-kata tersebut bukan sahaja menggembirakan semua pihak, tetapi turut mengeratkan ukhuwah sesama rakan artis.
"Bulan Ramadan ini, kita perlu sentiasa bercakap perkara yang baik. Jadi, apabila melihat komen positif, antaranya daripada Siti Nurhaliza, saya gembira. Namun, saya tidak dapat mengulas lanjut kerana tidak berani," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui SinarPlus dalam majlis berbuka puasa bersama pelakon drama Keluarga Itu di Lado By The Lake, di Shah Alam, baru-baru ini.
Ketika diminta lanjut mengenai status hubungan dengan Amira, sama ada sekadar teman tapi mesra, bintang drama Keluarga Itu tanpa berselindung mengakui perkara tersebut.
"Bolehlah, teman tapi mesra dalam maksud lain ketika bekerja," katanya sambil tersenyum penuh makna.
Memandangkan hubungan mereka sudah mencapai tahap sedemikian, Fattah memaklumkan bahawa keluarganya merestui dan menyukai Amira.
Lebih-lebih lagi, pelantun lagu Bila Nak Kahwin? itu sering hadir dalam acara keluarga bersama, sekali gus mengeratkan lagi hubungan mereka.
"Keluarga saya merestui, lagipun Amira pernah menghadiri majlis sebelum ini bersama keluarga saya.
"Dalam masa yang sama, semua gembira dan menyifatkan beliau sebagai rakan artis yang baik," ujarnya.