Ali XPDC kongsi berita duka, isteri meninggal dunia akibat kanser

Iklan

ISTERI kepada penyanyi, Ali XPDC iaitu Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53, meninggal dunia akibat kanser payudara di Hospital Putrajaya pada jam 6.08 petang, hari ini.

Berita pemergian isterinya disahkan oleh Ali yang berada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir.

Iklan
Iklan

"Ya, isteri sudah meninggal dunia. Arwah meninggal di depan mata saya," katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian Online.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, rakan baik Ali iaitu Fuad Syahrin ketika dihubungi berkata, beliau mendapat tahu berita sedih itu daripada Ali sendiri.

Iklan

"Saya dalam perjalanan ke hospital untuk menziarahi isteri Ali, tetapi dia pula hubungi saya dan beritahu isterinya sudah meninggal dunia di wad.

Iklan

"Ali beritahu dalam keadaan yang sangat sedih dan saya berusaha untuk menenangkannya kerana ia sudah ketentuan ALLAH.

"Ali dan anak-anaknya juga sudah berada di hospital untuk menguruskan jenazah isterinya itu," katanya lagi.

Menurut Fuad, jenazah Sharifah Azuwanna akan disolatkan di Masjid Bandar Baru Salak Tinggi selepas solat Isyak.

"Jenazah masih lagi di hospital. Selepas semua urusan di hospital selesai, jenazah isteri Ali akan disolatkan di masjid dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bandar Baru Salak Tinggi malam ini," katanya.

Terdahulu, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 57, dimasukkan ke Hospital Cyberjaya untuk menerima rawatan paru-paru berair dan jantung lemah sejak 24 Mac lalu, sementara isterinya, Sharifah Azuwanna pula dirawat di Hospital Putrajaya kerana kanser payudara.

Bagaimanapun, Ali sudah dibenarkan keluar dari wad sejak Khamis lalu dan kini berehat di rumah.