SETIAP kali Syawal menjelma, bukan hanya baju raya yang berkilat, malah perasaan pun macam-macam rupa. Ada yang bahagia berkumpul ramai-ramai, ada yang diam-diam simpan rasa kerana tahun ini dia pulang ke kampung seorang diri—tanpa pasangan, tanpa anak kecil berlari ke sana sini.
Dan untuk yang masih solo, selalunya ada satu soalan yang tak pernah gagal muncul, sama ada dari makcik di dapur atau jiran waktu salam-salam—"Eh, bila kau nak kahwin ni?"
Namun dalam kalangan kita, ada yang memilih untuk tenang dan senyum sahaja. Kisah Hajjah FL, atau lebih mesra dikenali sebagai Farah Lee, mungkin boleh memberi makna baharu kepada ‘raya dengan reda’.
Farah membuka kisahnya dengan senyum, sambil berseloroh,"Kepada yang masih single raya tahun ni, saya tumpang lalu ya... hiks!"
Raya tahun ini bagi Farah bukan sekadar rendang dan biskut, tapi menjadi detik luar biasa yang tak semua orang mampu hadapi dengan lapang dada.
Manakan tidaknya, bukan seorang, tetapi seluruh keluarga bekas suami datang beraya ke rumahnya di Terengganu.
"Highlight of this year raya was velocity trend pahceroh. and the whole family ex husband datang beraya kat Terengganu," kongsi Farah.
Ramai yang mungkin rasa pelik, malah tak kurang yang terkejut. Tapi bagi pempengaruh media sosial, ia bukan sesuatu yang perlu dipertikai atau dibesar-besarkan.
"Siapa cakap cerai kena gaduh? Yang ada masalah tu aku dengan dia je. Anak-anak, famili dan saudara semua tak perlu nak libatkan.
"Sedih? Memang sedih. Marah? Pernah juga. Tapi lama-lama aku fikir... apa je yang betul-betul hak aku dalam dunia ni? Tak ada satu pun.
"Akhirnya, tiada apa yang benar-benar milik kamu pun, semua adalah hak ALLAH," ungkapnya.
Beliau memuat naik hantaran tersebut menerusi laman Instagram miliknya
Memang benar, Aidilfitri bukan masa untuk bermasam muka atau saling menjauh. Ia ruang untuk memaafkan dan menyambung kembali silaturahim yang mungkin pernah renggang.
Walaupun status dirinya kini berbeza, pemilik nama sebenar, Nurfarahin Romli itu memilih untuk menjadikan perpisahan itu sebagai titik mula untuk jadi lebih kuat dan bijak.
Untuk rekod, Farah pernah mendirikan rumah tangga dengan pengacara televisyen, Ally Iskandar pada Januari 2012 dan berpisah pada Ogos 2016.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Maream Esaabel yang kini berusia 10 tahun.
Kini, sukarelawan berkelulusan Sarjana Pendidikan Kanak-Kanak itu kembali bergelar isteri kepada jurulatih menunggang kuda, Mohammad Fuad Hashim pada Januari 2024.
Sumber: Instagram Farah Lee