SELEPAS sebulan berehat susulan kes ‘panas’ yang tular di semua media sosial, Geng 3 Pagi ERA kembali bertugas, sekali gus meriuhkan konti dan menggembirakan pendengar setia ERA FM.
Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin telah memulakan semula tugas mereka sebagai penyampai segmen 3 Pagi ERA, bermula hari ini.
Menerusi perkongsian di laman Instagram era.je, seorang pemanggil yang dikenali sebagai Omar meluahkan rasa sebak atas kepulangan trio berkenaan.
Rupa-rupanya beliau merupakan salah seorang pendengar yang pernah meluahkan perasaan kepada Geng 3 Pagi ERA ketika berdepan kesedihan akibat perpisahan dengan bekas isteri. Mereka bertiga menjadi tempat Omar mencurah rasa hati.
"You all memang legend. Masa saya sedih dulu, anda semua berikan saya semangat. Jangan sedih. Don’t worry. Bila tahu perkara sebegini berlaku pada anda semua, saya doakan yang terbaik, semoga anda semua dikuatkan semangat. Legend don’t die," ujar Omar dalam panggilan itu.
Dalam video yang dimuat naik, kelihatan Azad menitiskan air mata mendengar luahan tersebut kerana rasa dihargai oleh pendengar setia mereka.
Sebelum memulakan tugasan pagi ini, mereka bertiga dilihat menunaikan solat subuh berjemaah — satu amalan yang paling mereka rindui sepanjang sebulan tidak bersua.
Semoga ukhuwah dan persahabatan mereka kekal hingga ke syurga.
Hantaran tersebut meraih perhatian ramai. Rata-rata melahirkan rasa sebak melihat situasi tersebut.
"Alhamdulillah cantik suraunya semoga dipermudahkan geng."
"Semoga peluang kedua yang Allah berikan kepada 3PE dimanfaatkan dengan lebih baik. Berpada-padalah ketika bergurau dan bekerja. Hati orang tidak boleh dibaca. Kalau terkena dengan orang yang dengki, tanpa sebab pun boleh terkena lagi."
"Sejuk subur permulaan nak siaran langsung. Semoga lancar segala urusan..."
"Sejuk hati pendengar...ingat ye...bersiaran dengan berhati-hati."
Sekadar makluman, penyampai segmen 3 Pagi ERA pernah tampil memohon maaf berhubung penghasilan video kontroversi yang didakwa mempersendakan tarian kavadi Hindu pada Mac lalu.
Pengendali stesen radio ERA FM, Maestra Broadcast Sdn Bhd telah dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok stesen radio berkenaan.