TIADA yang lebih menggembirakan hati pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam selain melihat perkembangan positif dalam kehidupan anaknya, Syamsul Yusof.
Menurut Yusof, anaknya yang kini berusia 41 tahun itu kelihatan lebih tenang dan bersemangat selepas melalui fasa getir perceraian keduanya bersama Ira Kazar tahun lalu.
"Sekarang alhamdulillah dia nampak sekarang lebih fokus. Saya perhati proses penggambaran filem The Original Gangster ambil masa lama, mungkin disebabkan banyak masalah dalam hidup dia sebelum ini.
"Dia pun saya lihat sudah semakin bersemangat cuma berat badannya sedikit turun dan nampak kurus," katanya.
Pada usia 71 tahun, Yusof tidak pernah berhenti memberi nasihat dan dorongan agar anak lelakinya tidak mudah berputus ada untuk meneruskan kehidupan walaupun diduga dengan pelbagai ujian.
Beliau yakin, walaupun Syamsul kelihatan sedikit kurus, anaknya akan terus bangkit dan kembali ke landasan yang sepatutnya.
"Dia pun saya lihat sudah semakin bersemangat cuma berat badannya sedikit turun dan nampak kurus.
"Saya pesan pada Syamsul, apa yang berlaku sekalipun dia kena kuat semangat,” katanya kepada SinarPlus selepas majlis tayangan gala filem Blood Brothers Bara Naga di Putrajaya, baru-baru ini.
Selain itu, pemilik nama Mohd Yusof Md Haslam Khan turut menasihati anak keduanya itu supaya tidak mengasingkan diri, sebaliknya terbuka dalam mencari pasangan hidup yang mampu memberikan ketenangan dan kebahagian.
"Tiada makna cari duit dan kaya tapi hidup seorang diri. Nanti akan rasa bosan.
"Saya pesan juga agar bina hidup baharu dan jangan hidup seorang diri tapi dia kata nak kekal solo buat sementara ini. Katanya nantilah dan nak fokus kerja, dia pun ada dua lagi projek filem lagi.
"Saya kata cari pasangan, hidup ini kalau tiada pasangan, tak ada makna. Paling penting dalam kehidupan ialah ketenangan dan bukannya kemewahan,” ujarnya.
Meskipun mahu melihat anaknya bahagia, Yusof menegaskan bahawa beliau tidak akan memaksa Syamsul untuk kembali bersama bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana.
"Saya tidak rasa Syamsul serik untuk mempunyai pasangan pada masa akan datang namun sebagai orang tua, saya doakan dia mendapat jodoh yang baik.
"Saya pun tak mahu mendesak dia perlu balik kepada Puteri Sarah dan sebagainya. Semua ini ketentuan ALLAH. Saya rasa Sarah dengan Syamsul akan terus menjadi sahabatlah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, suami kepada Datin Patimah Ismail bersyukur apabila anak lelakinya akhirnya dapat beraya bersama keluarga setelah bertahun-tahun tidak berkumpul bersama.
"Sambutan raya kali ini alhamdulillah, dengan Syamsul balik. Kami pun gembira dan sempat bercuti bersama di Switzerland baru-baru ini,” jelasnya.
Terdahulu, Syamsul menarik perhatian ramai apabila dilihat meraikan 1 Syawal bersama bekas isterinya, Puteri Sarah, dan anak-anak di rumah keluarga minggu lalu.
Ini sekali gus membuktikan hubungan mereka kini kembali jernih dan dapat menjalinkan persahabatan meskipun selepas dua tahun berpisah.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014, namun berpisah pada 14 Jun 2023. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam dan Sumayyah.