MENCECAH usia 51 tahun, wajah pelakon jelita Erra Fazira masih kekal awet muda dan tidak jemu dipandang.
Berkongsi rahsia yang diamalkan, Erra menerusi podcast Hitam Putih Kehidupan bersama Datuk Rosyam Nor mendedahkan bahawa rutin penjagaan diri yang diamalkannya sejak dahulu adalah hasil tunjuk ajar daripada ibunya sendiri.
Malah, kata Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, ibunya masih kekal aktif bersenam dan menjaga penampilan walaupun telah berusia.
"Apa yang saya amalkan adalah apa yang mak ajar saya daripada zaman muda lagi. Penjagaan kulit, pemakanan dan senaman, semua saya ikut mak saya.
"Alhamdulillah, sampai sekarang mak saya masih aktif bersenam. Dia biasa akan duduk selama 10 minit dan lumurkan losen pada badan dan muka. Rutin itu dilakukan sejak dia muda sampai sekarang.
"Contohnya, kalau syampu rambut pun tak pernah tukar dari dulu sampai sekarang," katanya.

