SANA sini ramai memuat naik gambar raya yang masing-masing comel dalam bentuk kartun di media sosial.
Trend popular Syawal 2025 menggunakan kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI), foto disunting secara suka-suka dengan mudah, hanya di hujung jari.
Paling popular ialah stail anime Jepun, comel dan cute sekali! Namun terdapat juga paparan imej yang dihasilkan tidak menyerupai gambar asal seperti jumlah individu dalam gambar ditambah atau ekspresi ditokok tambah hingga mengubah maksud asal.
Di sebalik kecomelan dan kreativiti yang ditampilkan, timbul persoalan adakah tindakan itu dibenarkan dalam Islam?
Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) mengulas isu berkenaan dan berkata hukum mengubah gambar manusia menjadi bentuk kartun bergantung kepada tujuan serta kesannya terhadap maruah individu tersebut.


SOALAN: Ustaz dari luar negara kata mengubah gambar manusia menjadi kartun haram, adakah betul ?
JAWAPAN:
Menurut Ustaz Azhar, pada pandangan beliau, jika imej yang dihasilkan tidak mengurangkan darjat kebesaran, dan menjatuhkan maruah orang, bahkan menyukakan (lagi) manusia kepada akhirat, hukumnya harus.
Bagaimanapun, ada keadaan tertentu yang boleh menjadikan ia haram.
"Kalau sampai jadi menghina orang atau menurunkan martabat orang yang patut kita muliakan, hukumnya dilarang syarak,” tegasnya.
Tidak hanya itu, Ustaz Azhar juga menjelaskan larangan berkenaan bukan hanya tertakluk kepada gambar tokoh atau ulama, tetapi turut merangkumi ahli keluarga sendiri.
"Bukan sahaja watak ulama, gambar-gambar anak beranak kita pun kalau kita buat jadi benda hina, (maka) haram (hukumnya),” ujarnya.
Sekiranya suntingan gambar dibuat sekadar untuk gurauan ringan tanpa unsur menjatuhkan maruah, katanya perbuatan berkenaan dibenarkan.
"Sebagai contoh, orang melakukan suntingan gambar anak, keluarga atau kawan dia (yang dirakam) di pejabat, tetapi kemudian disunting (lokasinya) duduk di atas gunung, ada salji dan sebagainya.
"(Ia) tidak ada unsur menghina atau mengaibkan orang, maka harus (berbuat demikian).
"Bagaimanapun, jika sampai tahap menghina, disebarkan di khalayak ramai dan menjadi aib orang, (perbuatan itu) sama seperti mengumpat,” katanya.
Selain isu foto manusia dikartunkan, Ustaz Azhar juga mengulas isu menggelarkan seseorang dengan nama-nama tertentu seperti gelaran diberi dengan penghinaan seperti menggunakan nama-nama haiwan dalam bentuk ejekan.
Tuturnya, penggunaan gelaran binatang pada hakikatnya dibolehkan jika ia bermaksud memuliakan, seperti ‘raja singa’ yang membawa maksud sangat berani atau ‘wahai burung helang’ (menggambarkan sifat sangat tangkas).
"Tidak boleh sama sekali gelarkan orang dengan binatang yang hina seperti anjing,” terangnya.
Sumber: TikTok