DALAM apa jua tindakan kita, berpada-pada mempercayai orang lain termasuk ahli keluarga yang terdekat. Betullah orang kata, bila nampak duit yang banyak, boleh gelap mata tiba-tiba.
Alangkah kecewanya seorang nenek apabila cucu yang dipercayai untuk menjaga lima jenis akaun berbeza miliknya sanggup menghabiskan semua simpanan sebanyak $280,000 bersamaan RM980 ribu.
Kejadian yang berlaku di Singapura ini disedari oleh nenek yang berusia 77 tahun dan memiliki penyakit Parkinson pada Ogos 2023 apabila wang simpanannya makin berkurang. Lebih mengejutkan, semua wang simpanannya habis menjelang hujung tahun 2023.
Apabila ditanya kepada cucunya, Adam Ilhan Mohamad Idhamsahbani, 22, mengatakan bahawa wang tersebut hilang angkara penipuan dalam talian. Malah, dia memalsukan dua surat yang kononnya dikeluarkan oleh pihak polis untuk menyokong pembohongannya.
Adam meneruskan penipuannya walaupun neneknya telah membuat laporan polis. Pada 17 Januari 2024, dia memberikan kenyataan di Balai Polis Divisyen Ang Mo Kio, di mana dia mengatakan bahawa dia telah membuat pertanyaan dengan pihak bank selepas neneknya mula menyedari wang itu hilang pada Ogos 2023.
Dia kemudian memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia menerima panggilan daripada seorang pegawai polis dari Pasukan Anti-Scam pada Oktober 2023, dan dimaklumkan bahawa wang itu telah hilang akibat penipuan.
Dia juga mendakwa telah bertemu dengan seorang pegawai dari Pasukan Anti-Scam, dan diberikan dua surat oleh dua pegawai yang tidak dikenali.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Akhirnya, Adam mengaku berbohong selepas polis datang ke rumahnya untuk mendapatkan kenyataan lanjut. Dia mengaku terdorong melakukan jenayah itu selepas melihat jumlah wang yang banyak dalam akaun neneknya.
Tambahan pula, neneknya mempercayai dia sepenuhnya untuk menyimpan kata laluan bagi mengakses lima akaun bank miliknya untuk membuat pembelian dalam talian, pembayaran bil, atau sumbangan.
Sepanjang tahun 2023, Adam telah menggunakan wang simpanan neneknya untuk membeli mesin pencetak, computer riba serta barangan berkaitan game kerana ketagihan dengan permainan video game.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Li Ting berkata Adam tidak menunjukkan rasa kesal walaupun telah tertangkap. Dalam rayuan pembelaan, dia menyalahkan neneknya kerana mempercayakan dia sepenuhnya sehingga membolehkannya menghabiskan wang tersebut. Itu jelas menunjukkan dia tidak rasa bersalah.
Pada 9 April 2025, Adam Ilhan Mohamad Idhamsahbani, dijatuhkan hukuman penjara selama 20 bulan dan empat minggu, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam.