PASANGAN yang pernah tular berkahwin ketika si isteri melawan kanser paru-paru tahap empat, kini sang suami, Lokman Sumadi, 36,terpaksa hidup tanpa cinta sejatinya, Nor Azurah Othman, 40, apabila suri hatinya kembali ke rahmatullah.
Menerusi portal berita tempatan, lapan bulan sempat berkongsi hidup, Lokman reda pemergian isteri tersayang yang menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarga dekat Kampung Sungai Kelambu, Banting.
Difahamkan, Nor Azurah dimasukkan ke hospital pada 10 April lalu kerana keadaannya yang lemah.
"Selepas pemeriksaan lanjut, doktor beritahu saya dan keluarga isteri supaya bersedia dengan segala kemungkinan.
"Doktor pun sudah buat yang terbaik dengan beri antibiotik selepas mendapati ada jangkitan kuman namun ALLAH SWT lebih menyayangi isteri saya yang meninggal dunia pagi semalam tak lama selepas tiba di rumah kira-kira 2.08 pagi," katanya.
SELALU MINTA MAAF
Tidak menafikan rasa kehilangan, Lokman sempat mengimbas kenangan bersama cinta hatinya. Memori dan kasih sayang dicurahkan Nor Azurah akan terus bersemadi dalam ingatan biarpun isterinya sudah tiada.
Malah, Lokman mengakui tetap bahagia kerana dapat menjaga dan Nor Azurah sehingga akhir hayat isterinya.
"Walaupun isteri terlantar, dia jaga makan minum saya. Dia tahu saya suka makan tempoyak dan belikan secara dalam talian.
"Saya bahagia sepanjang menjadi suaminya walaupun arwah selalu minta maaf kerana anggap dirinya bukan isteri sempurna," katanya.
Lokman juga menzahirkan syukur kerana sempat berada di sisi Nor Azurah ketika menghembuskan nafas terakhir.
"Walaupun sakit, saya nampak semangat isteri saya kuat dan sebelum meninggal dunia pun, saya ada tanya dengannya 'sayang kuat kan?.
"Dia angguk tapi sudah sampai ajalnya dan saya sempat ajar isteri mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.
"Alhamdulillah, semua dipermudahkan dan nampak wajahnya pun bersih saja dan seolah tersenyum selepas meninggal dunia," katanya.
Kisah cinta tulus dan sejati Lokman dan Nor Azurah pernah menjadi perhatian warga maya selepas pasangan itu diijab kabul di rumah keluarga di Banting manakala Nor Azurah sedang mendapatkan rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Biarpun kedua-duanya hanya dihubungkan dengan panggilan video namun majlis berlangsung dengan sempurna.
Sebaik melafazkan ijab kabul, bapa kepada dua cahaya mata itu bergegas ke hospital untuk menyarungkan cincin perkahwinan di jari manis Nor Azurah dan menghadiahkan ciuman di dahi menyentuh hati warganet.
'SELAMAT JALAN KEMBARKU'
Manakala adik kembar Nor Azurah, menerusi laman sosial TikTok menitipkan duka kehilangan kakak.
Memuat naik semula video perkahwinan pasangan itu yang pernah viral, pemilik akaun TikTok nora_delysha berterima kasih kepada Lokman menjaga kakaknya dengan baik.
"Berakhir sudah cinta meraka di dunia. Dulu kisah mereka viral tetapi kini hanya tinggal kenangan.
"Terima kasih abang iparku kerana menjaga kembarku ketika sakit. Semoga tabah.
"Buat kembarku, semoga tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Kami sudah tidak sakit lahi.
"Kami juga akan menyusu. Selamat jalan kembarku," titipnya.
Warga maya mengucapkan takziah buat keluarga Nor Azurah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat.
Sumber: TikTok, Harian Metro