Lelaki kahwin isteri sedang melawan barah, sarung cincin atas katil hospital. 'Saya nak jaga hingga ke akhir hayat'
JODOH dan pertemuan di tangan Tuhan, siapalah manusia untuk menidakkan. Cinta sejati tidak mencari kesempurnaan tetapi menerima pasangan seadanya biarpun kekurangan.
Seperti kisah Lokman Sumadi, 35 buat pasangan, Nor Azurah Othman, 39 yang menjadi lambang kasih sayang tanpa syarat.
Biarpun isteri sedang berjuang melawan kanser paru-paru tahap empat, ia sedikitpun tidak menggugat perasaan sebaliknya meneruskan perancangan perkahwinan.
Lokman dan Nor Azurah disatukan pada 18 Ogos lalu ketika beliau berada di rumah keluarga isterinya dekat Kampung Sungai Kelambu, Banting manakala Nor Azurah sedang mendapatkan rawatan di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Biarpun kedua-duanya hanya dihubungkan dengan panggilan video namun majlis berlangsung dengan sempurna.
Lokman yang segak berbaju Melayu kuning lengkap bersongkak dan bersampin tenang duduk berhadapan jurunikah dan saksi manakala di sampingnya adalah tablet memaparkan Nor Azurah.
Kata Lokman, mengikut perancangan asal majlis akad nikah sepatutnya dilangsungkan pada 7 September namun beliau mengambil keputusan mempercepatkannya selepas Nor Azurah dimasukkan ke HKL.
Lokman juga mendedahkan isterinya pernah menyatakan keinginan untuk tidak meneruskan perkahwinan kerana menganggap diri tidak mampu beri kebahagiaan.
"Keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan keluarga kedua belah pihak dan niat saya adalah menghalalkan isteri supaya lebih mudah untuk menjaganya.
"Saya nekad meneruskan kerana bagi saya, dia wanita sempurna dan kalau boleh nak jaga dia sehingga akhir hayat saya," katanya dipetik daripada portal berita.
Sebaik melafazkan ijab kabul, bapa kepada dua cahaya mata itu bergegas ke hospital untuk menyarungkan cincin perkahwinan di jari manis Nor Azurah serrta menghadiahkan ciuman di dahi menyentuh hati warganet.
Lokman sempat mengimbas kembali percintaan dengan Nor Azurah yang sudah lama mengenali sejak di bangku persekolahan. Sementelah mereka berdua tinggal berdekatan.
Bagaimanapun kedua-duanya menjadi rapat sejak November tahun lalu.
Ujar Lokman, isterinya hanya disahkan menghidap penyakit itu pada Januari lalu iaitu selepas dua bulan serius.
Kasih sayang yang terjalin dan membuatkan lelaki itu meneruskan hubungan mereka.
"Oleh kerana perasaan sayang sudah ada, membuatkan saya terus setia dengannya walaupun keadaannya makin teruk. Lagipun, saya percaya pesakit barah perlukan semangat.
"Jadi saya akan baginya sokongan dan kasih sayang untuk terus kuat walaupun doktor pernah beritahu jangka hayatnya tiga bulan saja," katanya.
Video yang dikongsikan adik kembar Nor Azurah, Nora Delysya menjadi tular di laman sosial TikTok.
Ia kemudian dimuat naik semula seorang pegawai perubatan, Dr Syed Alif Fauzan.
"Dalam keadaan dunia sekarang yang sedang tenat dengan pelbagai kes dan cabaran masih ada kisah yang boleh kita ambil sebagai pengajaran.
"Tahniah kepada pasangan Man dan Zura pesakit kanser paru-paru tahap empat yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.
"Jom sama-sama doakan moga Zura diberi kesembuhan dan kekal bahagia bersama pasangan," kongsinya.
Sumber: Dr Alif Fauzan, Harian Metro
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang