DALAM suasana pagi 19 Syawal yang tenang, kelibat bekas peragawati dan pelakon popular, Zahnita Wilson mencuri perhatian apabila muncul di perkarangan Mahkamah Syariah Kuantan pada pagi tadi.
Zahnita atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 8.55 pagi dengan mengenakan jubah biru muda sambil ditemani abang kandung yang setia di sisi.
Wanita berusia 40 tahun itu hadir bagi mendengar tiga sebutan semula kes penting membabitkan permohonan perceraian secara fasakh, perintah injunksi terhadap gangguan, dan tuntutan hak jagaan serta lawatan anak termasuk bermalam.
Turut kelihatan ialah suaminya, Abdul Zackery Ghouse Abdul Gafor, 47, yang hadir bersama beberapa individu dipercayai ahli keluarga terdekat.
Bintang filem Gila-Gila Pengantin Remaja itu nekad untuk menuntut perceraian secara fasakh selepas memfailkannya pada 3 Disember tahun lalu demi mencari ketenangan yang sekian lama hilang.
Sebelum ini, isu keganasan rumah tangga melibatkan Zahnita kembali menjadi bualan ramai selepas bekas rakan kongsi, Nur Hanisah tampil membuat pelbagai dakwaan di media sosial.
Antara yang mengejutkan, Hanisah mendakwa kisah rumah tangga pelakon berdarah kacukan itu hanyalah rekaan semata-mata, malah turut menafikan dahkwaan Zahnita pernah dianiaya oleh suaminya.
Enggan terus berdiam diri, Zahnita akhirnya mengambil keputusan untuk muncul secara terbuka dan akan menjawab segala persoalan yang berlegar di ruang maya.
Beliau telah menjemput wakil media hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Kuantan pada 18 April ini, bagi mengikuti sebutan kes perceraiannya sambil memberi ruang untuk menjelaskan perkara sebenar daripada pihaknya sendiri.