DESAS-desus mengenai keretakan rumah tangga Datuk Nora Ariffin akhirnya terjawab apabila penyanyi itu mengambil langkah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, pada pagi Isnin.
Peguam yang mewakili Nora, Sarah Mohd Ali, memaklumkan bahawa prosiding pertama kes perceraian itu dijadualkan berlangsung pada 6 Mei ini.
"Permohonan telah dibuat mengikut peruntukan Seksyen 47. Pihak suami juga sudah dimaklumkan mengenai tindakan ini dan menyedari proses mahkamah yang telah bermula,” katanya ketika ditemui media.
Dalam masa sama, Sarah turut mendedahkan bahawa keretakan rumah tangga pasangan itu berpunca daripada kemunculan individu ketiga yang dipercayai mengganggu keharmonian rumah tangga yang dibina sejak enam tahun lalu.
"Pasangan ini sebelum ini cukup bahagia, namun kehadiran pihak luar menyebabkan perkahwinan mereka tidak dapat dipertahankan lagi. Siapa individu itu, kami pilih untuk tidak dedahkan buat masa ini,” ujarnya.
Beberapa minggu lalu, Nora mencuri perhatian ramai apabila berkongsi sekeping foto dirinya berada di Mahkamah Syariah Hulu Langat yang menimbulkan spekulasi bahawa beliau mahu menamatkan perkahwinan bersama pensyarah kanan dari Universiti Malaya itu.
Lebih mengejutkan, Dr. Rushdi sendiri tampil memberi kenyataan yang seolah-olah mengiyakan tekanan yang wujud daripada pihak luar sehingga menjadi antara faktor perpisahan mereka.
Tindakan Nora memfailkan penceraian ini turut menyusul selepas beberapa kali menyuarakan hasrat yang sama kerana kegagalan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangganya.
Untuk makluman, Nora dan Dr. Rushdi mendirikan rumah tangga secara tertutup sekitar akhir tahun 2021.
Sebelum ini, Nora pernah melalui fasa duka apabila kehilangan suami pertamanya, Allahyarham Johan Nawawi, yang juga seorang komposer terkenal.
Mereka berkahwin pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.