TIADA lagi yang diharapkan oleh penyanyi bersuara lunak, Datuk Nora Ariffin selain mahu kemelut rumah tangga bersama suaminya, Dr. Rushdi Ramli menemui titik noktah.
Selepas melalui pelbagai fasa perbincangan dan mendapatkan pandangan daripada ahli keluarga, anak-anak serta individu yang arif dalam hal agama, Nora akhirnya tekad memilih jalan untuk berpisah demi kebaikan semua pihak.
Nora atau nama sebenarnya, Wan Norafizah Ariffin mengakui keputusan yang diambil bukanlah bersandarkan emosi semata-mata, sebaliknya berdasarkan pertimbangan yang matang serta bukti kukuh yang tidak mampu disangkal.
"Saya sendiri tidak membuat keputusan terburu-buru. Telah merujuk kepada agamawan dan individu berpengalaman dalam hal syariah sebelum menfailkan perceraian ini.
"Perkara ini juga telah saya kongsi dengan ahli keluarga serta anak-anak.
"Saya buat apa yang terbaik dan berdasarkan fakta serta bukti.
Penyanyi kelahiran Kota Bharu tersebut turut meluahkan, tiada wanita yang mengimpikan perkahwinan berakhir dengan perpisahan, apatah lagi dirinya pernah melalui detik kehilangan suami tercinta, Allahyarham Johan Nawawi pada tahun 2017 akibat serangan jantung.
"Secara jujurnya tiada sapa yang berkahwwin mahu bercerai. Saya pernah melalui episod kehilangan (merujuk kepada kematian suami terdahulu) dan kini diuji lagi.
"Tapi saya percaya ALLAH susun kehidupan saya dengan sebaik-baiknya.
Ketika ditanya mengenai reaksi atau sebarang usaha daripada pihak suami untuk memujuk atau menyelamatkan rumah tangga mereka, Nora memilih untuk mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut.
Nora Ariffin nekad fail cerai, dedah ada bukti kukuh! 'Nak pujuk, tunggu 6 Mei...,'
Iklan