PERKAHWINAN yang dibina sejak enam tahun lalu nampaknya berada di penghujung jalan apabila penyanyi, Datuk Nora Ariffin, nekad memfailkan perceraian terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli, pada Isnin.
Walaupun rumah tangga mereka sedang dilanda badai, Nora atau nama penuhnya Wan Norafizah Ariffin mengakui hubungan mereka masih berada dalam keadaan baik dan sehingga kini masih boleh tinggal sebumbung.
Menurut Nora, keadaan itu berlaku kerana mereka masih mengamalkan sistem giliran yang telah dipersetujui sejak awal perkahwinan bersama isteri pertama, Rose Aliza Sutrisno.
Namun, kebelakangan ini keadaan berubah. Suaminya lebih banyak meluangkan masa di rumah isteri pertama dan Nora pula memilih untuk tidak campur tangan atau mempertikaikan perkara tersebut.
"Kami masih tinggal serumah ketika sambutan hari raya tempoh hari dan menghadiri jemputan bersama.
"Kami tidak bergaduh, tetapi kini hidup agak berjauhan. Saya banyak mengalah dan tidak bertanya lebih-lebih. Saya serahkan segalanya kepada dia," katanya ketika ditemui SinarPlus di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Ketika ditanya mengenai reaksi anak-anak terhadap situasi yang melanda, Nora mendedahkan bahawa keempat-empat cahaya matanya memilih untuk tidak masuk campur dalam kemelut rumah tangga yang sedang dihadapi.
"Anak-anak saya langsung tak campur tangan. Bagi mereka, itu urusan mak dan ayah. Mereka tahu, sebagai anak, mereka tak ada hak untuk masuk campur dalam hal rumah tangga kami," kongsinya.