RUMAH tangga pelakon, Edika Yusof, terus menjadi bualan ramai apabila isterinya, Nor Hidayah Yusri, tampil membuka mulut dengan pendedahan mengejutkan bahawa suaminya telah beberapa kali melafazkan talak.
Menurut Nor Hidayah, dia pernah berusaha mendapatkan pengesahan berhubung lafaz cerai tersebut, namun segala usaha itu terbantut apabila Edika tampil menafikan kejadian itu dan turut melakukan sumpah laknat pada awal tahun ini.
"Memang saya buat permohonan cerai, tapi sebenarnya ini bukan permohonan kali pertama. Sebelum ini, saya pernah datang ke mahkamah untuk membuat pengesahan lafaz talak yang dilafazkan banyak kali.
"Tapi, Edika menafikan semuanya dan mengangkat sumpah laknat pada Januari lalu, jadi saya teruskan dengan permohonan cerai.
"Disember tahun lalu saya buat pengesahan lafaz cerai, namun Edika tak mengaku," dakwanya kepada SinarPlus.
Dalam prosiding penuh emosi di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, anak sulung mereka, Fardeen Nasrulhaq, tampil berdiri teguh di sisi ibunya.
Dengan nada tenang, dia menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan ibunya dan mengakui bahawa penceraian adalah jalan terbaik demi keharmonian semua pihak.
"Selagi masih hidup saya boleh jaga dia (ibu). Tiada apa yang boleh saya cakap, tapi inilah jalan penyelesaiannya. Ibu dan ayah juga akan kurang tekanan. Saya pun sudah biasa sejak kecil, jadi untuk saya tiada beza," katanya.
Dalam masa sama, Edika memaklumkan sudah lebih tiga bulan tidak tinggal sebumbung dengan isterinya.
Isterinya kini tinggal bersama Fardeen manakala dia tinggal bersama anak perempuannya, Fareena Nurulhaq.
Terdahulu,mahkamah menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes permohonan cerai yang difailkan oleh Nor Hidayah.
Peguam syarie yang mewakili Nor Hidayah, Mohd Yazid Hazim, memaklumkan bahawa pihak mahkamah telah membenarkan Edika untuk melafazkan cerai pada tarikh tersebut.