PELAKON Amyza Aznan berkongsi anak anaknya, Andre Mikhail Khairul, 22, kini sudah melepasi fasa kritikal selepas dua bulan berperang dengan kanser paru-paru.
Memuat naik video memaparkan putera sulungnya itu sedang memetik gitar dan mendendangkan lagu, Amyza, 51, baru-baru ini meluahkan rindunya terubat melihat keceriaan Andre.
"Assalamualaikum semua. Andre Mikhail pada hari ini 22 April 2025 buat pertama kali setelah fasa-fasa kritikal dan genting.
"Hari ni dia menyanyi dan bermain gitar semula. Rindu sangat suara ini rindu. Syukur Alhamdulillah," kongsinya.
Pelakon Mat Despatch dan Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin itu tidak lupa mengucapkan ucapan terima kasih kepada perawat yang pernah menyantuni Andre dan sesiapa sahaja yang mendoakan anakya.
"Jutaan terima kasih buat semua yang tidak putus-putus doa dan semangat,buat semua doktor dan nurse di Hospital Ampang, Hospital Kuala Lumpur.
"Kepada semua yang mendoakan dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei dan di mana sahaja. Hanya ALLAH yang membalas segala kebaikan kalian. The power of doa, terima kasih orang baik. #cancerfighter #germcelltumor," titipnya.

