'ALLAH makbulkan doa saya di Tanah Suci...'Pernah tular Tokoh Pelajar, Ahmad Khidir raih 8A

Iklan

KEJAYAAN bukan datang bergolek. Pernah dinobatkan sebagai Tokoh Pelajar Terbaik Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Heng Ee dan tular, Ahmad Khidir Ahmad Nazri membuktikan usaha yang dilakukan tidak pernah mengkhianati hasil.

Iklan
Iklan

Terus mengekalkan kecemerlangan, anak kelahiran Pulau Pinang itu meraih keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Berita gembira itu dikongsikan Ahmad Khidir menerusi Instagram story miliknya sambil berkongsi bahawa kejayaan tersebut adalah antara doa yang dipanjatkannya ketika menunaikan umrah di Tanah Suci baru-baru ini.

Iklan

"Alhamdulillah. Makbul doa di Makkah, aku bangga dengan keputusan sendiri. Usaha tidak pernah mengkhianati hasil," tulisnya ringkas.

Kejayaan Ahmad Khidir meraih semua A dalam setiap mata pelajaran yang diambil bukan sahaja menyerlahkan lagi rekod cemerlangnya, malah menjadi pencetus semangat dan inspirasi kepada ribuan pelajar lain untuk turut menjejak langkahnya.

Iklan

Itulah juga harapan yang disuarakannya menerusi satu lagi hantaran di akaun media sosial, agar kejayaannya dapat menyuntik motivasi kepada mereka yang masih berjuang dalam dunia persekolahan.

"Tiada niat untuk menunjuk, harap pelajar junior lebih bermotivasi untuk menjadi lebih baik berbanding saya kerana itulah yang dilakukan saya ketika melihat kejayaan senior di sekolah.

Terdahulu, SinarPlus pernah melaporkan mengenai kejayaan luar biasa Ahmad Khidir, yang mana namanya sudah mula menjadi perhatian beberapa universiti terkemuka meskipun beliau masih belum menamatkan alam persekolahan.

Kisah kejayaan Ahmad Khidir turut mencuri perhatian ramai apabila ia tular di media sosial selepas kakaknya, Fatimah Azzahara, memuat naik sebuah video yang memperlihatkan adiknya sebagai satu-satunya pelajar Melayu yang berjaya merangkul sebahagian besar anugerah di sekolahnya.