Neelofa mendedahkan ibunya, Datin Noor Kartini, kini dalam proses pemulihan selepas disahkan menghidap kanser payudara tahap satu.
SEBELUM ini, kita dikejutkan dengan pendedahan yang dibuat ibu usahawan dan selebriti, Neelofa, tentang penyakit kanser payudara tahap satu yang dihidapinya.
Bertanyakan tentang perkembangan tersebut, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkongsi bahawa ibunya, Datin Noor Kartini, kini dalam proses pemulihan.
"Lepas saja kita shoot hari tu, saya sebenarnya masih tak tahu lagi. Beberapa minggu lepas tu baru kita dapat tahu yang mama ada kanser. Dia pun dah jalani pembedahan dan sekarang tengah dalam proses pemulihan.
"Proses pemulihan ni bukan senang... ambil masa yang lama. Sekarang pun mama cuba elakkan tempat sesak, atau jumpa orang yang tengah sakit. Jadi dia dah jarang sangat keluar rumah. Kalau keluar pun, dia akan pakai perlindungan macam pelitup muka berganda.
"Sebab masa tengah pulih ni, sistem imun dia memang lemah. Mudah sangat nak dapat jangkitan. Dan kalau sakit pula, bukan semua ubat dia boleh ambil sesuka hati. Sebab tu sekarang dia lebih berhati-hati,” kongsi Neelofa ketika ditemui SinarPlus dalam satu majlis pelancaran Daia.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan
Bertanyakan tentang reaksi pertama kali mengetahui penyakit yang dihidapi oleh ibunya, akui ibu kepada dua orang cahaya mata ini bahawa mereka adik-beradik mengambil masa yang lama untuk menerima kenyataan tersebut.
"Reaksi kita semua macam... tak percaya. dalam penafian. Rasa macam, ‘Eh, betul ke ni?’ Ambil masa juga nak hadap kenyataan. Tapi kita sangat bersyukur sebab dapat tahu awal.
"Kanser jenis agresif ni sekarang memang makin biasa berlaku. Tapi rawatan pun dah semakin maju dan banyak pilihan. Banyak benda yang kami syukuri.
"Mama sebenarnya seorang wanita yang sangat kuat. Walaupun kami adik-beradik ramai dan semua jaga mama, dia bukan jenis mengada-ngada. Cuma dia nak kita jaga emosi dia, jangan bagi dia stres, jangan kongsi benda yang buat dia fikir terlalu banyak. Kita memang sangat jaga benda tu,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Neelofa juga sempat menasihati orang ramai supaya menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui keadaan diri sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku.
"Paling penting, tak kira muda ke, dah berusia ke, tolonglah buat pemeriksaan kesihatan setiap tahun.
"Orang selalu fikir, ‘Ala tak payahlah buat medical check-up’ tapi kalau kita tak sanggup nak berbelanja untuk itu, nanti kita mungkin kena belanja lebih untuk rawatan yang kita tak pernah jangka.
"Jadi, seawal usia 20-an pun, pergilah buat pemeriksaan. Ambil tahu pasal kesihatan sendiri. Jangan tunggu dah teruk baru nak bertindak,” pesan Neelofa.
Sedikit info, Neelofa kini dilantik sebagai Duta Jenama rangkaian produk Daia. Dalam majlis yang sama, Daia turut memperkenalkan Daia 3-dalam-1 Softergent Lavender, penyelesaian cucian lengkap yang menggabungkan kuasa cucian berganda, haruman mewah lavender serta kelembut dengan 99.9% perlindungan antibakteria dengan hanya menggunakan satu produk sahaja.