SEJAK keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumumkan, pelbagai kisah dikongsikan menjadi inspirasi. Memang kejayaan tidak datang bergolek, kecemerlangan yang diraih adalah hasil keringat dan air mata bukan sahaja pelajar itu sendiri, malah ibu dan ayah.
Anak kepada pengawal keselamatan dan tukang jahit Amirul Bukhari Aminuddin, 18, meraih 9A+ menggembirakan kedua ibu bapanya. Tidak sekadar itu, remaja yang bercita-cita menjadi seorang pendidik itu diumumkan di antara 11 pelajar terbaik di Terengganu.
Lebih manis lagi, beliau juga muncul sebagai pelajar pertama mencipta rekod dengan memperoleh A+ bagi semua subjek diambil dalam peperiksaan itu.
"Sejujurnya saya rasa bangga sebab menjadi calon SPM pertama dari sekolah ini dapat semua A+.


"Sebelum ini dalam ujian percubaan saya dapat 6A+, 2A dan 1B (Matematik Tambahan), jadi keputusan yang saya peroleh hari ini merupakan satu kejutan buat saya," katanya.
Melihat kejayaan anak, kedua ibu bapanya tidak dapat menahan sebak dan menangis gembira.
Bapanya, Aminuddin Muda, 60, bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata, dia akan menyokong sepenuhnya cita-cita Amirul Bukhari untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi mengejar impian sebagai guru bahasa Inggeris.
"Syukur Alhamdulillah, tak sangka dia dapat 9A, lepas ini dia nak mohon masuk IPG, nak jadi guru Bahasa Inggeris,” katanya.
Sementara itu, Ibunya pula, Rohaiza Mohd Ismail, 56, yang berkerja sebagai tukang jahit mengakui kegigihan anak bongsu dari empat beradik itu membuat persediaan membuahkan hasil.
Salah satu amalannya, solat sunat hajat dan tahajud.
"Tidak dapat nak gambarkan, syukur Alhamdulillah. Apa yang telah dia usahakan, pergi sekolah hari-hari dan tuisyen.
"Malam-malam bangun buat solat hajat dan tahajud. Dipermudahkan oleh ALLAH setelah mendapat keputusan cemerlang. Dia seorang anak yang baik, kita selalu bagi semangat kepadanya," katanya.
Keputusan peperiksaan SPM yang diumumkan pada Khamis menyaksikan seramai 11 calon yang menduduki peperiksaan itu di Terengganu memperoleh keputusan cemerlang tertinggi, iaitu semua A+ dalam mata pelajaran.
Selain itu, secara keseluruhan seramai 532 calon atau mendapat keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, meningkat berbanding 464 calon (2.83 peratus) pada tahun sebelumnya.
Tahniah buat Amirul Bukhari atas kejayaan yang cemerlang. Moga resipi kejayaannya menjadi inspirasi dan panduan buat ibu bapa dan calon SPM akan datang.
Sumber: Sinar Harian