BAHAGIA itu kita yang cipta. Bagi mereka yang mempunyai anak-anak maka ibu bapa mempunyai amanah dan tanggungjawab besar bagi membina sebuah keluarga yang harmoni.
Pelakon Noorkhiriah baru-baru ini berkongsi pendapat dalam sesi wawancara bersama Uyaina Arshad bahawa keluarga beracun atau pun lebih dikenali sebagai keluarga toksik bermula dari peranan ibu bapa itu sendiri.
"Apa yang boleh kakak cakap, ibu bapa adalah cermin pada anak-anak dia. Akak tak faham masa mula-mula kahwin dahulu. Ada juga bertekak manja dengan suami. Tapi bila dah lama (berkahwin) kalau tak puas hati, kita WhatsApp.
"Jangan bergaduh depan anak-anak. Anak-anak boleh memberontak bila mereka tengok perkara sebegitu. Saya selalu cakap pada diri sendiri. Ya ALLAH, apa sahaja yang berlaku dalam rumah ini adalah untuk membetulkan diri saya sendiri.
"Contoh, kita suruh anak-anak solat awal tapi kenapa kita solat lewat? Anak akan menyoal perkara itu. Jadi, apa yang saya boleh cakap, sekolah adalah tempat kedua dalam pendidikan.
"Rumah adalah tempat sebenar untuk mengajar anak-anak. Perkara yang tak betul jangan tunjuk depan anak,” ujarnya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga menambah, anak-anak cerminan ibu bapa.
Kalau kita mahukan anak-anak menjadi insan yang baik maka ibu bapa yang perlu menunjukkan contoh yang baik pada mereka. Baik dan buruk anak-anak datangnya dari didikan ibu bapa sendiri.
Tahukah anda, sikap toksik itu sendiri boleh memberikan impak negatif pada kesihatan mental, emosi bahkan fizikal setiap anggota keluarga.
Masalah ini juga akan melarat hingga membabitkan orang lain. Kadang-kadang mangsa sendiri tak sedar berada dalam keluarga beracun.
Oleh itu, jika anda merasakan di kelilingi oleh situasi ini maka carilah jalan untuk keluar. Masih sempat untuk ubah sikap atau pun dapatkan bantuan dari mereka yang professional.