Achey & Tiara, sejiwa walau tak sedarah. 'Tak gunakan anak untuk kejar populariti, dia lengkapkan hidup saya sebagai ayah'

Iklan

PENTAS seni yang sarat warna dan cerita, hadir satu nama kecil yang kini menjadi fenomena dalam kalangan warganet, iaitu Tiara.

Namun, di sebalik nama yang comel dan wajah yang mencuri perhatian itu, terselit sosok tubuh seorang ayah yang tidak pernah menyangka akan dipertemukan dengan satu ‘jiwa‘ yang begitu rapat dengannya.

Iklan
Iklan

Ayah itu ialah Achey, pelawak dan pelakon yang dikenali ramai, yang kini menempa nama baharu dalam dunia keibubapaan dan keusahawanan.

Menerusi satu temu bual eksklusif bersama SinarPlus, beliau berkongsi perancangannya yang bukan lagi hanya terarah kepada dunia seni, sebaliknya memandang ke hadapan.

Iklan

Bersama isterinya, Nur Hassanah Yahya, pasangan tersebut kini banyak memberi tumpuan kepada platform YouTube.

"Alhamdulillah, inilah yang dinamakan rezeki anak dan isteri. Tidak lama lagi, saya bakal tampil dengan podcast baharu berjudul Borak Laki Bini,” ujarnya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam rakaman program Borak Bibir Merah dan Rumah Terbuka Terpaling Raya anjuran SinarPlus baru-baru ini.

Dalam majlis tersebut, Achey menjadi salah seorang tetamu jemputan dan turut ditemani anak perempuannya itu.

Sekadar makluman, program bual bicara kali ini menyaksikan pihak SinarPlus berkolaborasi bersama Farmedy Sdn. Bhd.

Selain itu, Laman Singgahsana by Ani Catering & Wedding Planner menaja lokasi dan hidangan raya untuk kali ini.

Turut mengambil bahagian sebagai penaja ialah Eastin Hotel, Hotel Le Quadri by UCSI Kuala Lumpur, UVeCARE, Wardah Beauty Cosmetic, Twinings, butik Telekung Siti Murni, Econsave dan baucar Sompoton Spa untuk penonton yang bertuah.

Dunia glamor

Berbalik semula kepada perkongsian Achey, gelaran anak seni bukanlah tiket untuk beliau terus selesa.

Justeru, pemilik nama sebenar Mohd Nasir Hamzah tersebut mengambil pendekatan yang sangat bijak untuk tidak hanya memandang dunia glamor semata-mata.

Beliau menyedari, populariti mungkin kekal, tetapi tawaran tidak selalu datang. Maka, di saat nama masih meniti naik, beliau memilih meneroka dunia perniagaan.

Itulah semangat anak seni yang berwawasan, menapak bukan hanya di pentas hiburan tetapi juga dalam dunia niaga.

"Perniagaan Tiara Candy yang pada mulanya sekadar ‘suka-suka‘ oleh anak saya Tiara.

"Siapa sangka, kini menjadi cabang rezeki yang mengukuhkan langkah kami sekeluarga.

"Namun, untuk sampai ke tahap sekarang bukan semudah mata yang memandang.

"Pernah juga sebelum ini hanya terjual dua pek sahaja. Tetapi, kami enggan berputus asa dan alhamdulillah kini bisnes semakin maju,” ungkap lelaki berusia 39 tahun itu lagi.

Namun, apa yang lebih menyentuh hati penulis bukanlah tentang bisnes yang mereka bangunkan, sebaliknya hubungan antara Achey dan Tiara.

Umum mengetahui, si kecil yang kini sudah berumur lapan tahun bukan sekadar anak, tetapi ‘cahaya‘ yang membawa perubahan dalam kehidupan.

Kehadiran pemilik nama sebenar Nur Tiara Zinnirah Nasir kini terus mewarnai kehidupan pasangan suami isteri tersebut.

Apabila ditanya momen paling menggembirakan dalam hidup Achey, jawapannya tiada yang lebih manis daripada detik kemunculan Tiara pada 10 Ramadan 2018.

"Hari raya tahun itu bukan lagi tentang baju baharu atau juadah istimewa, tetapi hari yang diraikan khusus untuk permata hati kami, Tiara. Itulah momen paling saya suka,” ujarnya penuh emosi.

Demi si kecil itu, Achey yang membahasakan diri ayah sementara isteri pula mama kepada Tiara, mereka melalui proses pengambilan anak angkatnya itu secara sah dari segi undang-undang selain menjadi anak

IVF

Beralih kepada persoalan lebih ‘panas‘ yang segelintir warganet sering laung-laungkan, kononnya Achey mengambil kesempatan atas populariti anaknya untuk menarik perhatian, ini jawapan tuan punya badan.

"Memang Tiara memiliki aura luar biasa, tetapi jika tidak dikuatkan dengan pengurusan yang teliti, maka ia tidak akan ke mana,” ujarnya.

Pun demikian, tidak mudah bagi seorang ayah untuk menyeimbangkan kehidupan biasa seorang anak dengan gelombang dunia media sosial dan pengaruh awam yang semakin mencengkam.

Namun, pasangan tersebut membuktikan bahawa segalanya boleh dilakukan dengan niat yang betul dan pendekatan yang jujur.

"Tiara tetap bergaul dan membesar seperti anak-anak lain.

"Dia pergi mengaji, balik sekolah terus bermain. Sama seperti kanak-kanak lain.

"Bahkan, bila balik kampung, dia masuk parit, sauk ikan dan bebas melakukan aktiviti sebagaimana anak kampung biasa lain buat,” tegas Achey lagi.

Achey, isteri tidak putus harapanDi sebalik ketabahan membesarkan Tiara, terselit juga kisah perjuangan mendapatkan zuriat sendiri.

Bukan mudah untuk berkongsi kisah peribadi, tetapi Achey dan isteri tidak malu untuk mengakui mereka masih berusaha dan tidak pernah putus harapan.

Hanya satu jalan yang tinggal iaitu IVF (in vitro fertilization) atau lebih dikenali sebagai bayi tabung uji, usai doktor mengesahkan bahawa kedua-dua tiub falopio isteri terpaksa dipotong.

Meskipun percubaan terdahulu gagal, mereka reda dan bersyukur kerana kehadiran Tiara sudah menjadi pelengkap sempurna dalam kehidupan mereka.

Berkongsi pandangan tentang segelintir pasangan yang memilih menangguhkan untuk memiliki zuriat atas alasan belum cukup harta atau kestabilan, ini pesanan padu Achey:

"Rezeki anak, jangan pernah kita ukur pada harta. Kadang-kadang,ia hadir dalam bentuk gelak tawa, senyuman kecil dan cahaya yang memantulkan semangat baharu dalam hidup.

"Saya dan isteri sentiasa mencari ruang untuk meluangkan masa berkualiti bersama Tiara, sama ada membeli mainan, berjalan-jalan atau sekadar berkaraoke di rumah,” ungkap Achey memanggil anaknya dengan panggilan adik.

Tegas tetapi baikAchey juga mengakui cabaran beliau kini adalah memikirkan masa hadapan, berjaya atau tidak untuk menjadi seorang bapa.

Embed the video Erra ulas isu kahwin dengan Mr E

"Adakah apabila Tiara besar kelak dia akan anggap saya seorang ayah yang baik atau tidak?

"Sekarang saya berperang dengan diri sendiri supaya berkelakuan yang baik, elok kerana ada ‘mata kecil‘ yang tengah memandang apa yang saya lakukan.

"Jika ditanya adakah saya suka memanjakan Tiara, jawapannya tidaklah selalu. Saya cuba menjadi seorang yang tegas tetapi baik untuk didikan anak-anak,” jelasnya lagi.

Sebelum menutup perbualan, penulis mengajukan persoalan tentang definisi lelaki atau suami hebat pada pandangan matanya.

"Menjadi seorang ibu bapa yang hebat pada saya ialah sebagaimana kita jaga keluarga dengan sebaik dan semampu kita. Usah buat perbandingan dengan orang lain.

"Ukur baju di badan sendiri dan usah membandingkan apa yang orang lain ada dengan apa yang kita tiada.

"Dengan kehidupan sederhana atau apa adanya sahaja, itulah yang sebenarnya buat kita lebih bahagia,” ungkapnya penuh makna.