BIDUK berlalu, kiambang pun bertaut. Siapa sangka aktor dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki dan pelakon Que Haidar rupanya pernah bersengketa selama lebih 10 tahun.
Kedua-dua aktor kelas A itu meleraikan pergaduhan dan kembali berbaik di sebuah majlis. Malah video memaparkan mereka saling berpelukan dan menangis dimuat naik di laman sosial Afdlin.
Tidak mampu menahan sebak, Afdlin mengakui rindu untuk bekerjasama semula dengan Que yang disifatkan sebagai salah seorang pelakon hebat.
"Lama abang tak berbual dengan Que sebab ada insiden yang sekarang ni kita boleh lupakan.


"Rindu nak kerja dengan Que pasal abang percaya dia adalah antara pelakon lelaki terbaik di Malaysia.
"Sangat versatil dan sangat dinamik. Perjumpaan haritu bukan kali pertama tapi sebak di dada tak dapat dibendung kerana rasa macam ruginya kita tidak berbual selama sedekad lebih," ujarnya lagi.
Pemilik nama Afdlin Shauki Aksan itu bagaimanapun tidak memperincikan insiden tersebut sehingga membuat mereka tidak saling bertegur sapa.
"Kami saling bermaafan dan harapan abang ini adalah permulaan baru untuk kami. Love you Que!" titipnya.
Warganet yang tidak tahu kedua-duanya aktor berkenaan pernah berbalah terharu melihat ukhuwah yang terjalin.
Malah masing-masing meluahkan rasa tidak sabar untuk menyaksikan kedua-duanya bersama di layar perak.
Sumber: TikTok