PENGARAH filem terkenal, Aziz M. Osman baru-baru ini meraikan kejayaan anaknya, Putera Muhamad Ameen Aziz yang selamat menamatkan pengajian dalam bidang kulinari.
Dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-101, di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam, kejayaan Putera Muhamad Ameen, 22 meraih skrol Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Seni Kulinari membuat bapanya sebak.
Aziz, 62, berkata beliau sentiasa menyokong minat anaknya dan tidak pernah memaksa Ameen mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni.
Malah beliau merestui penuh pilihan Ameen dalam dunia kulinari.
"Saya tak kisah dia nak ambil bidang apa sekalipun, semua saya sokong asalkan benda baik untuk diri dia.
"Untuk ketentuan apa yang dia nak buat dalam hidup dia, saya serah kepada dia.
"Saya cuma pimpin sahaja, yang penting dia jadi orang, bukan benda lain," kata pengarah filem Misi XX-Ray itu.
Tambah beliau, kejayaan Ameen membuatkannya berasa sebak dan bersyukur, kerana melihat anaknya membina masa depan mengikut minat sendiri dan bukan kerana legasi keluarga.
Status sebagai anak selebriti bukan batu loncatan buat Ameen.
Beliau menegaskan bahawa kejayaannya adalah hasil usaha sendiri tanpa bergantung kepada pengaruh bapa.
"Walaupun ayah dikenali ramai, saya tetap mahu dilayan seperti pelajar biasa.
"Saya berusaha untuk berdikari dan kekal rendah diri agar orang sekeliling selesa,” katanya.
Sekadar info, Aziz pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Datin Nor Aliah Lee pada 19 Januari 1992 dan sah bercerai pada 2007 selepas 15 tahun hidup bersama.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata.
Anak kepada penyanyi veteran M Osman dan Afida Es itu kemudian berkahwin dengan Puteri Lily Lokman dan dikurniakan sepasang cahaya mata sebelum berpisah pada Julai 2023.