Tahniah! Akhil Hayy terima menantu, puteri sulung selamat bernikah

Iklan

TAHNIAH diucapkan kepada penceramah bebas yang juga bekas penyanyi, Akhil Hayy apabila puteri sulungnya, Siti Nur Maisarah selamat diijabkabulkan secara sederhana namun penuh bermakna di sebuah masjid.

Iklan
Iklan

Berita penuh bahagia itu dikongsikan rakan artis, Mawi menerusi satu hantaran di Instagram miliknya hari ini.

Menerusi perkongsian tersebut, Siti Nur Maisarah yang mewarisi keanggunan ibunya, Maizawati Zainal, tampil anggun dengan mengenakan busana serba putih lengkap berserta kain songket di sisi jejaka pilihannya, Zulhilmi yang turut segak bergaya dalam persalinan rona senada.

Iklan

Pasangan bagai pinang di belah dua itu turut merakamkan momen penuh makna bersama Juara Akademi Fantasia musim ketiga sambil ditemani bapa tercinta yang kelihatan tenang dan bersyukur menyaksikan penyatuan dua hati.

Pemilik nama sebenar Asmawi Ani itu tidak ketinggalan menitipkan ucapan tahniah buat pasangan raja sehari serta mendoakan kebahagiaan berpanjangan buat kedua-duanya.

Iklan

"Tahniah! Selamat disatukan Maisarah dan Zulhilmi

"Alhamdulillah tahniah juga buat sahabatku Ustaz Akil Hayy terima menantu," tulis Mawi ringkas.

Terdahulu, anak sulung daripada empat adik beradik itu telah selamat mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya pada 10 Oktober 2020 dalam majlis serba sederhana.

Ketika itu, mereka tampil sedondon mengenakan busana putih, mencerminkan keserasian yang terpancar sejak awal lagi.

Namun selepas lebih empat tahun menyulam cinta, akhirnya Zulhimi menunaikan janjinya untuk menyunting gadis idaman sebagai suri hati yang sah pada hari penuh bermakna ini.

Sebagai rekod, Akhil Abdul Hayy selamat mendirikan rumah tangga bersama bekas isteri, Maizawati pada satu tarikh yang tidak didedahkan.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan empat orang cahaya mata antaranya Siti Nur Maisarah, Mohd Syarif Idayatullah Mohd Shakir Idayatullah dan Mohd Syathiri Idayatullah.

Bagaimanapun, mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 15 Julai 2009 selepas 43 hari proses rundingan secara sulh.

Akibat perceraian itu, Siti Nur Maisarah dan Mohd Syarif Idayatullah tinggal bersama bapanya manakala dua lagi dibawah penjagaan Maizawati.