Rezeki Sissy Imann, dari kelas muzik ke pentas legenda. 'Tak mahu orang lama tak rasa saya ‘potong line’, tapi...'

Iklan

MINATNYA terhadap muzik bukan sekadar hobi biasa. Sejak kecil lagi, Sissy Imann sudah didedahkan dengan alat-alat muzik.

Ayahnya menjadi individu pertama yang mencorakkan arah seni itu dalam hidupnya.

Iklan
Iklan

Belum mencecah usia dewasa, beliau sudah mengajar piano di pusat muzik tatkala usianya baharu 16 tahun. Bakat, disiplin dan minat yang timbul bukan dibuat-buat. Ia datang sendiri, bersama kesungguhan.

"Daripada sekolah lagi saya sudah mengajar. Benda tu bukan sebab nak duit, tapi sebab suka. Memang minat,” luahnya jujur kepada SinarPlus.

Iklan

Siapa sangka, perjalanan seninya berkembang ke satu tahap luar biasa apabila empunya diri dapat berdiri megah di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) sebagai pengacara utama.

Bukan calang-calang anak seni yang berpeluang berbuat demikian, sementelah di sebuah pentas besar.

Iklan

"Sejujurnya, waktu itu saya takut sangat sebenarnya. Pengacara AJL bukan calang-calang orang. Kebanyakan mereka dah ada 10 hingga 15 tahun pengalaman. Saya ini baru lagi,” katanya sambil menghela nafas.

Menyingkap kembali momen indah tersebut, kata anak kedua daripada tiga beradik itu, beliau langsung tidak berani ‘mengintai’ reaksi orang ramai di media sosial.

"Setiap kali waktu iklan, saya hanya bertanya sepatah dua pada abang yang ada di belakang pentas. ‘Apa orang kata?’ Tapi abang enggan jawab. Tak nak kacau tumpuan saya waktu itu,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Sissy bagaimanapun bersyukur cara yang beliau tampilkan dalam program tersebut berjaya menuai pujian ramai.

"Mungkin ramai tak tahu, pengacaraan sebenarnya bukan benda baharu pada saya. Sebelum AJL pun ada buat pelbagai program lain. Cuma tak seramai ini yang beri perhatian.

"Alhamdulillah, rezeki tu datang masa AJL. Jadi, bila pintu tu dah terbuka, insya-ALLAH saya akan teruskan. Masih banyak lagi yang perlu dipelajari,” kongsi beliau lagi.

Beauty with brain

Tatkala ditebak perasaannya apabila segelintir orang memberikan gelaran beauty with brain kepadanya, Sissy tertawa.

"Saya tak tahu nak cakap macam mana. Tapi kalau itu yang orang nampak, alhamdulillah. Memang saya cuba usaha sehabis baik,” ungkapnya lagi.

Pemilik nama sebenar Sissy Imann Mohammad Kamil itu juga bukan sekadar penyanyi dan pengacara. Beliau mendedahkan pernah menjadi planner, pengurus, stylist dan tenaga belakang tabir untuk showcase sendiri. Segala-galanya dilakukan sendiri.

"Showcase tu kecil je. Dalam 150 orang hadir. Tapi semua benda sayabuat sendiri, pentas, bajet, konsep, baju. Penat tetapi berbaloi,” katanya bangga dan bersyukur kerana ibu dan ayahnya menjadi tulang belakang buat dirinya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai reaksi segelintir pihak yang mempertikaikan apabila melihatnya selalu bersama mak dan ayah.

Ada yang menganggap dirinya terlalu dikawal. Namun, disangkal tuan punya badan yang mengakui realitinya jauh berbeza.

"Orang nampak macam saya ni terlalu bergantung kepada ayahanda dan bonda. Padahal, saya boleh sahaja pergi London sendirian. Terbang ke Bangkok pun pernah, dengan kawan-kawan.

"Cuma mungkin kerana ayahanda dan bonda yang menguruskan segalanya, jadi mereka kerap ada di sisi.

"Mereka yang uruskan jadual, bantu kawal masa. Lagi satu, bila mereka ada, saya boleh nilai niat orang sekeliling. Siapa yang jujur, siapa yang datang sebab nak ambil manfaat,” tegas Sissy lagi yang menggunakan gelaran ayahanda dan bonda untuk panggilan ibu dan ayahnya.

Bahkan, kata wanita berketinggian 163 sentimeter itu lagi, kawan-kawannya pun sudah terbiasa dengan kehadiran ibu bapanya yang sesekali turut serta bersantai bersama.

Kepada tuan punya badan turut ditanya pandangannya tentang kebangkitan bakat baharu kini yang mencipta nama menerusi media sosial, ini pesanan Sissy:

"Buat mereka yang naik melalui media sosial, saya tak iri hati. Saya sendiri berdoa agar orang lama tak rasa saya ni ‘potong line’. Kalau sudah rezeki, apa salahnya, kan? Yang penting, kita jalan dengan nilai dan usaha.

"Kalau tak ada peluang, kena cuba cipta sendiri dan bila sudah dapat (peluang), pastikan kita ada nilai untuk memasuki bidang ini.”

Sebelum menamatkan perbualan, penulis sempat mengusiknya yang dilihat kini lebih berbeza berbanding dahulu.

Manakan tidak, suatu ketika dahulu, dirinya pernah dilabel ‘cepat koyak’ namun sekarang nampak lebih tenang dan matang.

"Dulu saya akui cepat 'sentap'. Sekarang sudah tidak sangat. Betul lah orang cakap, pengalaman mematangkan fikiran.

"Pada masa sama saya sedar, dalam industri seni, bukan semua orang suka kita, kan! Duduk diam pun tetap akan dinilai.

"Jadi kena terima hakikat. Ada orang suka, ada orang tak. Yang penting kita buat kerja dan tanggungjawab yang diberikan,” ungkapnya penuh makna.