ISTERI pelawak dan usahawan Shuib iaitu Watie Hanifiah berkongsi berita duka keguguran anak pertama mereka pada Ahad lalu.
Berita pilu itu dimuat naik Watie menerusi satu hantaran di Instagram.
Wanita berusia 37 tahun itu meluahkan rasa sedih dan pasrah kehilangan cahaya mata yang digelarnya 'Bintang'.
"Siang malam mummy berendam air mata fikirkan kamu. Maaf kerana tak menjaga kamu dengan baik saat kamu ada di dalam rahim.
"Maaf kerana tak menghargai kehadiran kamu di saat mummy terlupa begitu senang dan baiknya ALLAH berikan kamu," tulisnya.


Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah berkongsi beliau terdahulu mendapat petanda akan mengalami keguguran menerusi mimpi.
"Mummy sudah dapat petanda daripada mimpi yang mummy akan keguguran.
"Setiap masa Mummy fikir adakah mimpi itu akan jadi kenyataan. Mungkin ALLAH lebih mengetahui apa yang terbaik buat mummy.
"Mungkin mummy masih belum mampu jadi ibu yang baik dan adil buat kamu, kakak dan abang-abang kamu.
"Mungkin masih banyak yang perlu mummy pelajari sebelum kamu lahir ke dunia ini dan mungkin ALLAH nak mummy lebih menghargai anak-anak yang mummy ada sebelum adanya kamu," titipnya.
Meskipun terpaksa menghadapi kesedihan, Watie reda dengan ketentuan takdir dan bersyukur kerana pernah merasai kehadiran si kecil biarpun seketika.
"Mummy reda walau ianya terasa perit untuk dihadapi. Mummy tetap bersyukur ALLAH titipkan kamu walau hanya untuk beberapa bulan yang indah.
"Mummy masih dalam fasa perasaan paling sedih pernah dirasakan dalam hidup. Tapi dengan kata-kata dari kalian ini jugalah sedikit sebanyak dapat memujuk hati mummy ketika ini," kongsinya.
Sekadar info, Watie dan Shuib diijab kabul pada 23 Jun 2023.
Shuib terdahulu memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 14, Dzahira Talita Zahra, 12, dan Ariq Matin, 9, Ayash Affan, 4.