Sebak! Anak 12 tahun tunai amanah terakhir imamkan solat jenazah bapa. 'Insya-ALLAH abang Amirul boleh jaga ibu, adik-adik'

Iklan

TIADA kata yang mampu menggambarkan perasaan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun apabila kehilangan figura ayah tersayang dalam sekelip mata akibat kemalangan tragis melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Iklan
Iklan

Peristiwa menyayat hati itu bukan sahaja meragut nyawa seorang bapa, malah turut merampas senyuman dan zaman kanak-kanak anak sulungnya yang kini terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada usia yang masih mentah.

Baru-baru ini, tular sekeping gambar yang menyentuh hati memaparkan Amirul Firdaus, anak lelaki kepada Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri, mengimamkan solat jenazah bapanya di kediaman mereka di Kampung Sungai Itek, Gopeng.

Iklan

Dalam suasana penuh sebak, Amirul berdiri tabah di hadapan jasad ayahandanya untuk menunaikan amanah terakhir sebelum arwah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tubong selepas solat Subuh.

Perkongsian menyentuh perasaan itu mula mendapat perhatian ramai selepas video berkenaan dimuat naik oleh ahli keluarga, dipercayai ibu saudaranya, menerusi akaun TikTok @Juejj_7007.

Iklan

Pemilik akaun tersebut, yang dikenali mesra sebagai Mamateh, meluahkan rasa bangga terhadap anak saudaranya yang mampu memimpin solat jenazah bapanya sendiri meskipun masih muda.

"Mamateh bangga dengan Abang Amirul. Di umur 12 tahun sudah mampu imamkan jenazah abah.

Insya-ALLAH, Amir, anak lelakimu anak yang hebat... Abang Amirul boleh jaga ibu dan adik-adiknya,” tulisnya dalam kapsyen video berkenaan.

Lebih memilukan, isteri kepada Allahyarham, Norazian Mohd Joned, turut berkongsi bahawa suaminya pernah menanti selama lebih sedekad untuk menimang cahaya mata perempuan.

Namun, impian yang sekian lama dinanti itu hanya sempat dikecapi seketika sebelum arwah pergi menghadap Ilahi pada Selasa lalu.

"Dia sangat gembira bila dapat anak perempuan. Tapi sekarang, dia dah tak ada,” katanya dalam nada sebak.

Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak, Amirul Firdaus, 12; Amirul Asyraf, 11; dan si bongsu, Amira Sofea, yang baru berusia setahun.

Terdahulu, SinarPlus pernah melaporkan bahawa Allahyarham Koperal Amiruddin telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia selama 14 tahun sejak menyertai pasukan itu pada tahun 2011.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah ditugaskan di beberapa negeri termasuk Johor, sebelum berpindah ke penempatan terakhirnya di FRU Unit 5, Sungai Senam, Perak.

SUMBER: SINAR HARIAN