‘Abang kena kuat, sayang tunggu...' Organ terhimpit, pundi kencing bocor & tulang patah, isteri Koperal Syed Isfan luah kesedihan

Iklan

ORGAN dalaman terhimpit, pundi kencing bocor, terkena jangkitan kuman serta tulang pinggul patah dan rusuk retak.

Itulah kecederaan serius yang dialami oleh salah seorang mangsa kemalangan trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam, yang bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di KM15, Jalan Chikus–Sungai Lampam.

Iklan
Iklan

Koperal Syed Isfan Syed Mohammad, 32, yang duduk di bahagian belakang lori, mengalami pendarahan dalaman yang serius, trauma perut dan kecederaan kepala.

Iklan

Beliau yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan telah dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk menjalani pembedahan.

Menurut perkongsian isteri mangsa, Rasidah Suhada Zulkifli, yang memuat naik status di akaun Facebook miliknya, suaminya telah selamat menjalani tiga kali pembedahan.

Iklan

"Pembedahan bahagian perut dan dada disebabkan usus naik ke atas menghimpit paru-paru, hati dan limpa. Alhamdulillah, pasukan perubatan berjaya membetulkan semua kedudukan organ ke tempat asal.

"Doktor juga mengatakan empat tulang rusuk yang retak akan sembuh dengan sendirinya. Terdapat tiga kebocoran di bahagian pundi kencing dan telah dijangkiti kuman.

"Selain itu, doktor berjaya memasukkan tiub stent di saluran antara buah pinggang dan pundi kencing. Buat masa ini, suami kena kencing menggunakan tiub,” ujarnya kepada pembaca yang mahu mengetahui perkembangan suaminya.

Selain itu, doktor juga telah memasukkan besi stent pada bahagian tulang pinggul yang patah. Walaupun begitu, Rasidah memaklumkan Syed Isfan perlu menjalani dua lagi pembedahan setelah keadaan kesihatannya stabil.

Bukan hanya suaminya yang masih menanggung kesakitan. Tiga lagi rakan Syed Isfan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan masih dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri. Empat lagi anggota yang cedera dilaporkan dalam keadaan stabil serta menerima rawatan di wad biasa.

Pada awalnya, Rasidah terkejut dengan berita kemalangan itu dan tidak mampu menahan kesedihan mengenangkan nasib suaminya, tetapi kini beliau sudah mampu menarik nafas lega dengan perkembangan positif yang diterima.

"Insya-Allah dia kuat. Semalam saya sedih dan bimbang tetapi hari ini saya reda serta bersyukur disebabkan keajaiban yang berlaku.

"Pada permulaannya, doktor beritahu banyak risiko yang perlu dilalui oleh suami, namun berkat doa semua dan kuasa Allah, pakar perubatan berjaya menangani risiko pendarahan — tidak perlu buang bahagian limpa dan potong usus.”

Menerusi hantaran terbaharunya di 'story' Facebook, Rasidah menitipkan kata-kata semangat buat suaminya agar diberikan kesembuhan.

"Abang kena kuat. Sayang pun kena kuat! Sebelum ini abang jaga anak-anak, tapi kali ini sayang yang kena ke hadapan. Sayang akan ambil tanggungjawab baharu buat masa ini, ambil alih menjadi kapten kapal sementara abang berjuang melawan sakit.

"Sayang akan jaga abang dan juga anak-anak. Sayang akan uruskan semua keperluan kita. Sayang yakin abang boleh buat. Sayang akan berbakti dan jaga abang sebagaimana abang ‘meratukan’ sayang. Sayang tunggu abang sedar. Rindu nak dengar suara abang,” luahnya dengan perasaan pilu.