SEMALAM pelawak Shuib dan isteri, Watie Hanifiah berkongsi berita duka kehilangan kandungan anak pertama mereka.
Dalam perkembangan terbaharu, pelawak itu memuat naik video kenangan mereka sekeluarga pertama kali mengesan kehamilan isteri pada 5 April lalu.
Pemilik nama Shahmira Muhammad itu mendedahkan berita kehamilan diterima mereka sekeluarga ketika sedang berada di Tanah Suci bagi menunaikan umrah baru-baru ini.
Video berkenaan memaparkan Shuib dan anak-anak menerima kejutan alat penguji kehamilan positif daripada Watie yang menunjukkan usia kandungan tiga minggu ke atas.
Menghargai kehadiran kandungan anak kelimanya itu biarpun seketika, Shuib tidak henti memberikan kata-kata semangat buat Watie.
"Simpan sini buat kenangan yang dia pernah hadir dalam keluarga kami. Namanya Bintang 'Anak Mekah.'
"Terima kasih diatas kehadiran walaupun hanya sekejap. Ia cukup bermakna dan indah buat kami sekeluarga, lebih-lebih lagi mummy Insya-ALLAH semoga jumpa di syurga.
"Daddy dan anak-anak sayang mummy. Mummy sudah buat yang terbaik. Susunan (takdir) ALLAH lebih mengetahui. Semoga kita semua di kurniakan rahmat dan berkat dunia dan akhirat," titip Shuib.
Warganet yang tersentuh dengan perkongsian berkenaan terus memberikan kata-kata positif buat pasangan itu.
Tidak kurang menghargai pengorbanan Watie selama ini yang ikhlas menyayangi dan menjaga anak-anak Allahyarham Siti Sarah seperti anak kandung.
"Mummy jaga anak-anak ibu (Siti Sarah) di dunia, ibu jagakan anak mummy di syurga insya-ALLAH."
"Ya ALLAH sedihnya saya pun sebak. Setiap bulan saya masih berharap ada hadiah daripada Tuhan. Moga Watie dan Shuib diberi rezeki anak lagi, aamiin."
"Kenapa aku yang menangis teresak-esak tengok video ini."
"Kita yang menangis. Sedih, ALLAH uji sebab dia sayang. Semoga kuat mummy."
Sekadar info, Watie dan Shuib diijab kabul pada 23 Jun 2023.
Shuib terdahulu memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Uwais Alqarni, 14, Dzahira Talita Zahra, 12, dan Ariq Matin, 9, Ayash Affan, 4.