BARU-baru ini, media sosial digemparkan dengan kisah menyayat hati apabila dua kanak-kanak ditemukan tidak bernyawa di sebuah kebun durian, sekali gus meruntun hati warganet.
Kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai AT bersama adik perempuannya, KK dikatakan ingin keluar untuk mencari durian di sebuah kebun dekat Kabupaten Pesisir Barat, Lampung, Indonesia pada Rabu (14/5/2025).
Menurut ahli keluarga, dua beradik malang itu memaklumkan niat mereka dengan meminta izin daripada ibu bapa sebelum keluar mencari durian sekitar jam 2.00 petang.
Namun, sehingga waktu maghrib kelibat mreka masih belum kelihatan, mendorong ibu bapa membuat laporan polis dan memulakan operasi pencarian.
Sekitar jam 10.30 malam, segala-galanya berubah apabila seorang penduduk kampung bernama Sahirin menemui jasad yang sudah tidak bernyawa di kawasan kebun berkenaan.
Rupa-rupanya, jasad itu milik dua beradik yang dilaporkan hilang.
Lebih memilukan, kelihatan si abang yang berusia lapan tahun memeluk erat adik perempuannya yang baharu menginjak usia empat tahun.
Mayat yang ditemukan kira-kira 300 meter dari rumah mereka memperlihatkan seluruh tubuh kedua-dua mangsa dipenuhi kesan luka, malah salah satu tangan daripada mereka hampir putus.
Bukan itu sahaja, kepala kanak-kanak tidak berdosa itu dilaporkan hampir hancur, dipercayai akibat hentakan objek tajam.
Dalam pada itu, pihak polis turut menemui beberapa bukti penting di lokasi kejadian termasuk parang dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden kejam tersebut.
Pengarah Direktorat Siasatan Jenayah Polis Lampung, Pesuruhjaya Senior Pahala Simanjuntak berkata mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Bhayangkara Polis Lampung.
Menurut Pahala, pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat namun mengesahkan bahawa kejadian tragis ini sebagai kes pembunuhan.