KEHIDUPAN suami isteri pasti ada pasang surutnya. Baru-baru ini Saharul Ridzwan mendedahkan terpaksa menjual kereta milik isterinya, Deena Amir. Perkongsian tersebut nyata menyentuh hati ramai.
Manakan tidak, kereta jenis Honda Jazz itu sangat istimewa sementelah ia hadiah ulang tahun keempat perkahwinannya dengan Deena.
Dalam perkembangan terbaharu, bekas pelakon dan finalis Hero Remaja 2011/2012 itu beralih kepada Kenderaan Serba Guna (MPV).
Tidak lagi memilih kenderaan jenis sedan atau hatchback, Shaharul membeli sebuah Toyota Alphard baharu.


Video momen gembira itu dikongsikan wakil jualan kenderaan berkenaan menerusi laman sosial Instagram.
"Terima kasih atas kepercayaan, Saharul Ridzwan ! Hari penyerahan yang cukup bermakna bersama seorang gentleman sejati, soft spoken dan family man yang saya hormati.
"Bukan kali pertama berurusan, tapi setiap kali tetap rasa istimewa. Semoga kenderaan baru ini membawa lebih banyak momen indah bersama keluarga tercinta!" kongsi akaun @rd_garage_ dan @fglmotorsports.
Saharul dilihat bersama isteri dan anak-anak di bilik pameran kereta untuk mengambil kenderaan baharu mereka.
Video berdurasi satu minit 12 saat itu jelas memaparkan kegembiraan mereka anak-beranak menerima kenderaan baharu dibeli.
Kata Saharul, beliau terdahulu berminat dengan Toyota Voxy sebelum memilih Toyota Alphard.
Selain MPV mewah yang baharu dibeli, warga maya juga tertarik dengan nombor plat kenderaan berkenaan yang dipercayai bernilai tinggi dan mempunyai maksud tertentu.
Imbas kembali, pemilik nama Muhammad Saharul Ridzwan Hashim itu menjual aset-aset peribadi lain seperti kereta Mercedes Benz dan sebuah kondominium di Cyberjaya pada tahun lalu.
Tindakan tersebut dilakukan pelakon Jangan Benci Cintaku dan Hati Perempuan untuk mengurangkan beban kewangan dan kestabilan keluarga.
Sekadar info, Saharul berkahwin dengan Deena atau nama penuhnya Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada 16 September 2016.
Hasil perkongsian hidup, pasangan bahagia itu diserikan dengan kehadiran tiga orang anak iaitu Muhammad Luth Ali, 8, Fateema Azzahra, 5, dan Khadijah Alkubraa, 2.