BERTUAHNYA penyanyi popular, Wany Hasrita antara selebriti yang dikurniakan panggilan haji pada usia muda.
Pada umur 27 tahun, pemilik nama Nurshazwany Hasrita bergelar hajah muda selepas selesai menunaikan rukun Islam kelima itu pada tahun 2019.
Menerusi sebuah rancangan televisyen, penyanyi lagu 'Menahan Rindu' itu mendedahkan doa ringkas yang diamalkan hingga terpilih dan dijemput ALLAH ke Tanah Suci.
"Saya takut untuk jawab sebenarnya. Seingat saya ketika itu saya mengamalkan doa dalam bahasa melayu sahaja.
"Tetapi saya masukkan dalam saya 'Ya ALLAH Ya Tuhanku, berikanku rezeki yang tidak terjangkau oleh akal fikiranku, rezeki yang tidak disangka-sangka.


"Dua doa itu sahaja. Bila orang tanya apa yang Wany doa, apa yang saya tambah baik dalam doa saya hanya dia perkara itu dua bulan sebelum menunaikan haji," ujarnya kepada pengacara, Shamsul Ghau Ghau.
Lebih mengujakan, isteri kesayangan Mohd Al Adib Fahmi itu juga berpeluang menaiki helikopter pada hari wukuf di Arafah.
"Menaiki helikopter memang tiada dalam perancangan pun. Ketika itu sudah hari kedua melontar.
"Pada hari berkenaan mereka bertanya, saya hendak naik helikopter tak? Saya jawab ok, baik sahajalah.
"Bila naik, dia bawa saya pusing Masjidil Haram. Pemandangan di bawah menampakkan betapa kecilnya manusia, persis semut.
"Selain itu, mereka juga bawa ke tempat berwukuf, memang ia sangat luas. Kemudian saya dibawa ke Muzdalifah dan terus ke Mina.
"Ketika di Mina itu saya nampak betapa banyaknya khemah. Ia dibina (berjajar) sehingga hingga ke tempat melontar.
"Saya terfikir bagaimanakah mereka (jemaah) berjalan (sejauh itu) dari hujung sana ke tempat melontar.
"Ia membuatkan saya muhasabah diri dan tidak henti mengucapkan Alhamdulillah, bersyukur atas apa yang diatur ALLAH untuk saya" ujarnya.
Warganet teruja dengan perkongsian Wany dan berharap berpeluang untuk mendapat peluang seperti penyany itu.
"Ya ALLAH, berilah aku rezeki yang tak terjangkau akal fikiranku, rezeki yang tak disangka sangka."
"Pegi haji dengan kehendak ALLAH. Doa hanya usaha."
"Rezeki ALLAH buat Wany, Alhamdulillah."
Sekadar info, Wany menunaikan haji selepas menerima tawaran daripada kerajaan Arab Saudi.
Beliau telah menunaikan haji bersama bersama rakan penyanyi, Amira Othman.