BUKAN seorang, malah ramai isteri sanggup berdiam diri daripada membuka aib tentang suami demi pelbagai alasan. Begitulah kisah benar yang dikongsikan oleh seorang peguam syarie, Fahmi Ramli, di ruangan Facebook miliknya baru-baru ini.
Seorang wanita berusia 30-an bersama kakaknya datang bertemu beliau yang kebetulan berada di mahkamah ketika itu untuk bertanyakan tentang prosedur perceraian.
Tidak diketahui apa puncanya, suami wanita itu berubah sikap selepas dia melahirkan anak kedua. Pada awal perkahwinan yang telah mencecah tujuh tahun, suaminya yang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, digambarkan sebagai seorang yang baik dan lembut tutur kata, persis lelaki idaman Malaya.
Kemuncak perubahan sikap itu berlaku apabila suaminya mula menampar si isteri hanya kerana dia mengadu tentang nafkah.
"Hang jangan kurang ajar. Aku dah sediakan semua, apa lagi yang tak cukup?”
Selepas itu, suaminya kerap naik tangan, memukul belakang kepala isteri, dan pernah menendangnya hanya kerana anak bising. Suami juga pernah menyepak belakang badan isteri ketika dia sedang baring, hanya semata-mata menyuruhnya memasak nasi goreng, sedangkan lauk-pauk sudah pun tersedia.
Akibat kerap dipukul, tubuh dan wajah si isteri mula lebam. Kakinya pula sakit hingga terhincut-hincut. Situasi ini menyebabkan dia sanggup tidak keluar rumah selama beberapa hari untuk mengelakkan pertanyaan orang sekeliling.
Setiap kali ditendang dan dibelasah oleh suaminya, wanita tersebut tidak melawan kerana menurutnya,"syurga di bawah tapak kaki suami”, satu pesan yang ditanam ibunya sejak kecil. Isteri dan anak-anak hanya mampu menangis apabila dilayan sebegitu rupa.
Demi menyorok keadaan sebenar, mereka berpura-pura seperti tiada apa-apa apabila pulang ke kampung. Rahsia itu akhirnya terbongkar apabila kakak si isteri melihat kesan lebam pada wajah adiknya semasa dia datang ke rumah untuk mengambil makanan.
Kakak terus membawa adik ke balai polis serta hospital untuk mendapatkan rawatan. Selepas pulang ke rumah keluarga, segala-galanya diceritakan, dan ibu bapa mereka amat terkejut, lelaki yang mereka sangka budiman, rupa-rupanya bertopengkan syaitan.
Lebih menyedihkan, wanita tersebut sanggup tidak menuntut cerai kerana takut akan digelar janda, sekali gus bimbang dicemuh oleh masyarakat dan keluarga sendiri.
Wanita perlu tegas dan pertahankan diri
Situasi rumah tangga seperti ini sering berlaku dalam kalangan wanita di luar sana yang takut dengan gelaran janda, atau dikatakan nusyuz apabila keluar dari rumah.
"Tindakan isteri keluar rumah tidak dikira nusyuz. Malah, untuk menyabitkan nusyuz, bukan hanya dengan dakwaan suami, sebaliknya ia mesti melalui perintah mahkamah.
"Jika keluar dari rumah kerana terdapat ancaman berbahaya daripada suami seperti dipukul, ditampar, diacu pisau, atau suami menghidap penyakit kelamin berbahaya seperti HIV atau juga kerana jangkitan seperti Covid-19, maka isteri tidak boleh dianggap nusyuz,” jelasnya.
Beliau turut menambah, antara hak seorang isteri selain daripada nafkah ialah hak untuk dilayan dengan cara yang ma’ruf, iaitu dengan pertuturan lembut dan tanpa kekerasan.
Jika hak ini gagal ditunaikan, maka gugurlah hak suami untuk ditaati. Terdapat ulama yang menyatakan bahawa isteri boleh keluar dari rumah jika takut berlaku kemudaratan.
Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj bi Sharh al-Minhaj pernah menyebut bahawa jika suami mengancam dengan pukulan yang tidak wajar, isteri boleh keluar dari rumah kerana bimbang terhadap keselamatannya.
Realitinya, banyak kes yang berlaku di mana isteri takut untuk keluar daripada 'neraka rumah tangga' kerana stigma terhadap status janda.
Malah, ada yang percaya tidak akan bau syurga jika tidak taat kepada suami. Tidak kurang juga yang takut ugutan dan kehilangan hak penjagaan anak.
Bangkitlah wahai wanita. Anda layak untuk disayangi dan dihargai. Lebih baik bergelar janda daripada terus dilayan seperti binatang. Anda berhak untuk bahagia bersama anak-anak.