HANCURNYA hati seorang isteri apabila mengetahui suami yang dicintai mempunyai hubungan sulit bersama wanita lain.
Lebih memilukan orang ketiga itu adalah ibu kandung sendiri. Hubungan terlarang itu lebih mengaibkan apabila wanita tersebut hamil.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Taccampu, Desa Abbanuange, Kecamatan Lilirilau, Kabupaten Soppeng, Indonesia.
Lebih mengejutkan, lelaki yang dikenali sebagai BR itu kemudian bertindak mengahwini ibu mentuanya, FR yang berusia 36 tahun.
Ketua Desa Abbanuange, Buhari, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa kedua-dua pihak keluarga telah berdamai selepas satu pertemuan dan persetujuan dicapai.
"Memang benar menantu itu telah menghamilkan ibu mentuanya, tetapi kes ini sudah lama berlaku. Kedua-dua pihak telah berdamai selepas anak pasangan itu dilahirkan,” katanya kepada media tempatan pada Rabu.
Difahamkan, BR terlebih dahulu menceraikan isterinya, AL yang berusia 21 tahun, sebelum mengahwini ibu mentuanya mengikut syarat yang ditetapkan oleh pihak keluarga wanita.
"Dia telah menceraikan isterinya dan perkara ini diselesaikan secara kekeluargaan. Keadaan juga sudah reda,” tambah Buhari.

