DIKURNIAKAN cahaya mata dalam jangka masa dekat atau 'rapat-rapat', pelakon Fizo Omar dan isterinya, Fazeera Nazri Azrai sememangnya cukup bertuah.
Sudah memiliki dua cahaya mata, Wan Khaleeda dan Wan Umaira, pasangan itu bakal menyambut anak keempat tidak lama lagi.
Baru-baru ini, Fazeera, 28, sempat menjawab pertanyaan warganet di laman sosial yang bertanya mengapa dirinya sering hamil dalam jarak yang dekat.
Pun begitu, bakal ibu tersebut menzahirkan rasa kurang senang menerima pertanyaan sedemikian.


"Saya tidak rasa mengandung itu memberikan beban dan keletihan melampau serta membuatkan rasa putus asa.
"Cuma saya ingin mengetengahkan satu perkara, semua orang diberi kebebasan untuk bersuara di laman sosial, memberi pendapat atau bertanya sesuatu yang ingin diketahui.
"Apabila sudah terlalu diberikan kebebasan untuk bersuara dan melontarkan kata-kata, bertanya soalan... tolong jaga sensitiviti orang lain.
"Saya selalu dihujani komen seperti 'tidak letihkah mengandung?', 'tak sayang badan ke?', 'suami tak jaga ke, biar beranak rapat-rapat?' atau 'suami tak kisah dengan kesihatan mental awak?'.
"Saya kecewa hingga saya tidak dapat menjawab soalan-soalan itu. Ya, saya tidak mengambilnya serius secara peribadi kerana ia tidak memberikan impak dalam hidup. Namun bayangkan jika ia ditanya kepada seseorang yang mentalnya tidak kuat? Apa jadi kepada mereka?
"Mungkin boleh jadi murung, resah, stres, terlalu banyak berfikir, terutama ibu-ibu yang sedang mengandung," ujar bekas pramugari Qatar Airways dan AirAsia itu.
Artikel berkaitan:
- Si comel berlesung pipit pelengkap cinta Fizo & isteri, Wan Umaira 'kembar tahun' Wan Khaleeda
- Teruja bakal sambut anak ketiga ‘kembar tahun,’ Fizo Omar hint nak tambah lagi, warganet titip nasihat, doakan selamat
Dalam pada itu, Fazeera turut mendedahkan bahawa pengguna laman sosial wanita sering meninggalkan komen berkaitan hal demikian seolah-olah tidak menghormati keputusannya untuk hamil lagi.
"Maaf cakap, selalunya wanita yang akan cuba menjatuhkan wanita lain. Jarang sekali saya melihat para suami atau lelaki yang sibuk mengajukan pertanyaan seperti ini atau melemparkan kata-kata negatif di media sosial.
"Memang selalunya wanita yang akan merendahkan wanita lain. Tolong hormati keputusan orang lain.
"Saya tidak menampakkan diri menyesal atau tidak suka beranak rapat-rapat. Saya bersyukur dan menghargai anugerah (anak) dalam hidup ini," kongsinya.
Pensyarah dan juga jurulatih etiket profesional itu turut menitipkan kesyukuran kerana tidak keseorangan dalam melalui detik kehamilan yang mencabar.
"Untuk menjawab soalan Wendy, ya, saya tidak rasa letih kerana saya ada sokongan emosi yang kuat daripada orang sekeliling saya, Alhamdulillah.
"Anak-anak adalah kurniaan yang terlalu berharga," kongsinya.
Warga maya bersetuju dan menyokong jawapan yang diberikan Fazeera. Ujar mereka:
"Perempuan yang decide untuk kerap hamil dan bersalin selalunya kerana ada suami baik serta rajin membantu isteri."
"ALLAH sudah tentukan aturan hidup mereka termasuklah anak. Siapa kita sebagai makhluk-NYA untuk mempertikaikan takdir?"
"Alhamdulillah rezeki. Sebenarnya anak ramai ini seronok, asalkan suami tak lepas tangan."
Sekadar info, Fizo, 40, dan Fazeera diijabkabulkan pada Oktober 2021.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wan Khaleeda, 4, dan Wan Umaira, 2.
Selain itu, Fizo memiliki seorang anak perempuan, Wan Maryam, 8, daripada perkahwinan pertamanya bersama usahawan Mawar Karim.
Sumber: TikTok