PELAKON Qi Razali menamatkan zaman bujang selepas selamat bergelar suami kepada wanita pilihan hati, Wardah, dalam sebuah majlis yang berlangsung pada Ahad.
Penyatuan hati dua mempelai itu dikongsikan pengacara terkenal, Fedtri Yahya, yang juga pengacara bagi majlis perkahwinan berkenaan.


Kongsi Fedtri, hari bahagia itu lebih bermakna apabila pengantin perempuan merias dirinya sendiri.
"Alhamdulillah. Dapat mengacarakan majlis pernikahan Qi Razali dan Wardah. Tahniah Babah!
"Kedua-duanya anak bongsu. Pengantin perempuan seorang jurusolek, jadi dia yang menyolek dirinya sendiri," titipnya.
Menerusi hantaran yang dikongsi, Qi dan Wardah berseri-seri menggayakan persalinan serba putih di majlis yang diadakan di Bagas Zakariah, Gopeng, Perak.
Warganet tidak lupa menitipkan ucapan tahniah buat Qi atau nama sebenarnya Qushairi Mohammed Razali Wong.
Qi yang kini berusia 48 tahun terdahulu mendedahkan telah bertunang selepas Aidilfitri tahun lalu.
Bekas pemain drum kumpulan OAG dan pengacara televisyen bagaimanapun enggan berkongsi lanjut mengenai tunangnya dan sekadar memaklumkan wanita itu adalah seseorang yang bertugas di belakang tabir.
Sumber: Facebook