BERMULA dengan sekadar gurauan supaya melakukan rawatan lasik mata, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya menunaikan permintaan penyanyi, Bella Astillah untuk menjalani prosedur tersebut.
Menerusi hantaran di Instagram, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkongsi beberapa keping gambar bersama Syed Saddiq yang sedang mengenakan pakaian hospital dipercayai sebelum menjalani rawatan berkenaan.
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata ini tidak dapat menyembunyikan rasa keterujaannya apabila Ahli Parlimen Muar itu bakal melihat dunia dengan penglihatan yang jauh lebih jelas.
Lebih bermakna, bekas Menteri Belia dan Sukan tersebut kini mampu menjalani rutin hariannya dengan bebas tanpa perlu bergantung pada cermin mata.
"Seseorang bakal mula melihat kehidupan dalam 4K, jadi selamat tinggal cermin mata!," tulisnya.
Perkongsian dengan lebih 40,000 tanda suka itu telah menarik perhatian ramai yang membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat dan doa.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tidak sabar menantikan transformasi serta penampilan terbaru jejaka berkenaan tanpa mengenakan kaca mata.
Selain, ramai juga menyifatkan ibu kepada sepasang cahaya mata itu amat bertuah kerana menjadi individu pertama yang akan dilihat oleh ahli politik berusia 32 tahun itu sejurus selepas beliau menjalani rawatan tersebut.
Terdahulu, Syed Saddiq dalam siaran langsung bersama SinarPlus baru-baru ini memaklumkan beliau pernah diminta oleh Bella untuk melakukan rawatan lasik bagi merawat masalah penglihatannya.
Luahnya lagi, Bella pernah berseloroh bahawa dia enggan menatap wajah Syed Saddiq selagi belum menjalani rawatan tersebut.
"Sebab tu, dia (Bella) paksa saya buat lasik, dia kata tak boleh, kalau pakai cermin mata dia tak nak tengok lagi," katanya sambil tersenyum