Yassin rungkai punca enam bulan ditahan di Jeddah. 'Bukan kes dadah, bawa barang lambang larangan'

Iklan

KEHADIRAN pelawak Yassin Senario sememangnya dirindui para peminat. Spekulasi berkenaan penahanannya di Jeddah, Arab Saudi bertebaran menimbulkan tanda tanya.

Akhirnya empunya diri membuka mulut menceritakan kejadian yang menimpa pada Oktober tahun lalu.

Iklan
Iklan

Syukur Alhamdulillah pemilik nama Yassin Yahya, 47, itu pulang ke tanah air pada minggu lalu selepas ditempatkan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing Jeddah, Arab Saudi

Beliau menjelaskan baharu kali pertama mahu mengerjakan ibadah umrah dan dek kurangnya ilmu berkaitan perjalanan ke sana menjadi salah satu faktor beliau ditahan.

Iklan

Bagaimanapun, menerusi audio siar Darkcast, Episod Khas - Yassin Yahya, bersama Saiful Apek yang disiarkan dalam YouTube Gitu Gitu Studio, beliau menjelaskan penahanan tersebut bukan disebabkan penyalahgunaan dadah.

Iklan

"Ia bermula dengan satu sidang media menjemput 25 artis veteran. Ada seorang insan dari Pulau Pinang berbesar hati menaja 25 orang artis menunaikan umrah.

"Saya teruja dan fikir inilah waktunya. Orang taja jadi mengapa tidak saya ambil peluang. Ketika itu, saya ada job, tapi saya fikir nak ambil job atau peluang ini (umrah).

"Saya berbelah bahagi dan pening. Saya tanya isteri dan fikir mungkin inilah niat yang sudah lama diimpikan. Saya terus hubungi emak dan beritahu ada orang nak taja menunaikan umrah.

"Emak beritahu, Alhamdulillah, dia baru semalam berdoa agar salah seorang anak dapat pergi umrah. Itulah saya... Jadi, saya buat keputusan mahu pergi umrah, namun agak kelam kabut buat persediaan," katanya

Ujar Yassin, tawaran kerja yang diterima sebelum itu terpaksa dicarikan pengganti. Namun, beliau cuma terkilan tidak sempat mengikuti kursus umrah.

"Saya hanya buat persediaan dengan belajar dalam YouTube dalam masa singkat.

"Ketika itu, Senario juga baru sahaja memenangi trofi Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular.

"Jadi, saya lebih teruja mewakili anggota Senario nak berdoa, sambil belajar," katanya.

Dia kemudiannya bertolak ke Jeddah pada 27 Oktober tahun lalu namun tidak menyangka gurauan kepada ibu untuk melanjutkan keberadaan di Tanah Suci menjadi kenyataan.

"Sebelum berlepas, saya bergurau dengan emak, 'saya mungkin extend'.

"Emak terkejut, tapi saya terlepas cakap tanpa sengaja. Nampaknya masin mulut.

"Saya menaiki penerbangan lapan jam perjalanan ke Jeddah. Sebelum berlepas saya fikir bagaimana saya nak merokok, jadi saya beli rokok kertas, 'grinder' (pengisar) dan beli sekotak rokok di lapangan terbang.

"Sampai di Jeddah, beg diimbas ketika penerbangan ke Madinah. Pihak kastam nampak sesuatu dan arahkan beg saya dibuka.

"Dia pegang benda agak menggerunkan, saya nampak dia pegang 'grinder' yang ada lambang barang terlarang.

"Mereka terus selongkar beg. Bagi mereka, ia adalah barang mencurigakan," dakwa Yassin.

Menerusi video berdurasi lebih sejam itu, Yassin menjelaskan, dia kemudian dibawa ke sebuah bilik manakala badan dan begnya diselongkar lagi.

"Saya pun tidak tahu apa yang mereka buat.

"Saya tanya apa yang mereka buat, saya jelaskan ini rokok. Jika mencurigakan, boleh buat ujian air kencing.

"Pada masa yang sama, saya suruh mutawif tinggalkan saya kerana mereka mahu kejar penerbangan seterusnya ke Madinah," dakwanya.

Seterusnya, peserta Sinaran Pasport Kegemilangan 1998 itu mendakwa dibawa ke pejabat polis untuk ambil keterangan namun tidak dilepaskan.

"Selepas disoal siasat, mereka tutup beg yang digeledah dan saya fikir mereka nak hantar saya kembali kepada kumpulan jemaah.

"Mungkin saya boleh lepas, namun pihak polis suruh ikut ke kenderaan polis dan menggari tangan. Saya dibawa ke balai polis di Jeddah pula.

"Saya tertanya-tanya apa kesalahan saya. Kalau difikirkan, takkan soal lambang jadi satu kesalahan.

"Kalau salah, saya sudah ditahan di Malaysia. Saya memang tak tahu mengenai undang-undang di sana.

"Sampai di balai polis, saya tiada peluang memberikan penjelasan atau menghubungi sesiapa, apatah lagi, masalah komunikasi macam ayam dan itik.

"Dalam perjalanan, saya contact ALLAH sahaja, Ya ALLAH permudahkanlah dan hanya berserah dan memohon doa serta tak putus berzikir.

"Sampai di balai, beg dan barang-barang termasuk telefon bimbit diambil, saya dimasukkan ke lokap khas untuk dadah," dakwanya.

Dalam masa lapan hari tidak berhubung dengan sesiapapun termasuk agensi yang membawanya.

Ujar Yassin, situasi lokap berkenaan agak padat dan dia pertama kali tidur dalam keadaan berdiri kerana lantai penuh.

Sepanjang tempoh berkenaan Yassin mendapat bantuan daripada pihak konsulat dan menjelaskan alat berkenaan digunakan untuk merokok sepanjang 12 hari mengerjakan umrah.

"Saya dijatuhkan hukuman selama enam bulan," kata Yassin akur menerima keputusan tersebut susulan logo pada grinder.

Sempat menitipkan nasihat agar berhati-hati susulan undang-undang yang ketat, Yassin berkata para jemaah jangan membawa lambang ketum.

"ALLAH mengetahui segala sesuatu dan ini adalah perjalanan saya. ALLAH sudah katakan bahawa musibah ini adalah kebaikan untuk kamu. Saya bersangka baik sahaja.

"Saya katakan jika ini perjalanan saya, saya reda. Aku doakan agar ENGKAU juga reda. Saya juga bermuhasabah dan ingin perbaiki diri," katanya.

Dalam video yang sama, Yassin menzahirkan rasa kesyukuran. Katanya, jika diuji sesuatu sebaiknya tidak cepat melatah, cuba bersangka baik kerana kebenaran akan tiba.

Malah, dia positif tentang segelintir pihak yang berprasangka buruk.

"Saya berterima kasih kepada mereka yang mengambil berat tentang diri ini.

"Saya maafkan dan tidak salahkan mereka kerana risaukan saya sehingga fikir yang bukan-bukan.

"Sebelum tidur, don't worry saya tetap memaafkan anda," kata Yassin kepada pihak yang membuat spekulasi sehingga menjadi fitnah.

Saiful Apek terdahulu mendedahkan sempat berhubung dengan Yassin menerusi aplikasi Zoom dan mendedahkan pelawak itu bukan sahaja bertambah saiz badan, malah berjaya menghabiskan bacaan 20 juzuk al-Quran.

Sumber: YouTube