KONFLIK peperangan di Semenanjung Gaza masih tak berkesudahan. Saban hari kita dipaparkan dengan kematian yang cukup memilukan, lebih-lebih lagi membabitkan anak kecil yang tak berdosa.
Paling menyedihkan, angka kematian semakin meningkat dan setakat laporan ini ditulis, sebanyak 53,822 nyawa terkorban manakala 122,382 orang lagi cedera selepas tercetusnya serangan Israel sejak Oktober 2023 lalu.
Terbaharu, kisah kematian sembilan anak kepada seorang doktor di Gaza benar-benar menyentak jiwa netizen apabila mangsa paling muda baru jer berumur enam bulan.


Lapor The Guardian, hanya seorang anak dan suami yang terselamat daripada serangan Israel yang memusnahkan rumah Dr Alaa al-Najjar pada Jumaat lalu.
Ketika kejadian, wanita tersebut dikatakan sedang bekerja dan seperti biasa, sebelum meninggal rumah, beliau akan mengucapkan selamat tinggal buat semua anak-anaknya.
Si bongsu bernama Sayden ketika itu masih tidur dan difahamkan kawasan kejiranan mereka di Khan Younis hanya beberapa meter daripada kawasan serangan.
Meski Dr al-Najjar bimbang meninggalkan anak-anak di rumah, namun ibu berusia 35 tahun itu tiada pilihan kerana khidmatnya amat diperlukan sebagai pakar pediatrik demi merawat bayi yang cedera akibat serangan di Kompleks Perubatan Nasser.
Pun demikian, wanita tabah itu tidak pernah menyangka ucapan selamat tinggal pada pagi Jumaat itu adalah yang terakhir buat anak-anaknya.
Selang beberapa jam, tujuh mayat anaknya yang rentung akibat serangan udara Israel tiba di hospital, tempat doktor itu bertugas. Dua lagi mayat termasuk Sayden masih tertimbus di bawah runtuhan.
Hanya seorang anak terselamat termasuk suaminya, Hamdi al-Najjar, 40, yang juga seorang doktor. Kedua-duanya dirawat di hospital yang sama.
Memetik kata Ketua Jururawat Kompleks Perubatan Nasser, Mohammed Saqer, itu satu tragedi paling menyayat hati sejak peperangan bermula pada dua tahun lalu.
Badan hangus terbakar
Abang kepada suami mangsa, Ali al-Najjar memberitahu, beliau segera memecut ke rumah adiknya selepas mendengar khabar rumah tersebut terkena bom.
"Adik saya pula terbaring di sebelah anaknya, berdarah teruk di kepala dan dada. Tangan dia dah putus tapi masih mampu bernafas,” ceritanya yang terus menghubungi pasukan perubatan.
Tidak duduk diam, Ali kemudian mencari sembilan lagi anak saudara yang masih tertimbus.
"Tapi malangnya lepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya, kami jumpa semuanya. Sangat sedih bila tengok ada yang badan hancur dan semua hangus terbakar.”
Sementara itu, Dr al-Najjar yang menerima berita mengejutkan itu terus bergegas pulang.
Sebaik saja melihat pasukan penyelamat mengeluarkan mayat anak perempuannya, Revan dari runtuhan, beliau menangis dan merayu untuk memeluk anaknya buat kali terakhir.
Menurut cerita Ali, badan Revan terbakar sepenuhnya dan langsung tiada secebis kulit dan daging yang tertinggal.
Doktor wanita itu kemudian kembali ke hospital untuk melihat keadaan anak lelaki dan suami yang terselamat.
Difahamkan, suami mangsa mengalami kerosakan otak akibat serpihan bom, selain patah di beberapa anggota badan dan kecederaan di dada yang terpaksa bergantung kepada mesin pernafasan.
Tak dapat cam mayat
Bagaimanapun menurut sumber hospital, Dr al-Najjar dilihat tidak mampu mengenal pasti mayat anak-anaknya disebabkan luka terbakar yang terlalu teruk.
Artikel penuh di: https://sinarplus.sinarharian.com.my/lifestyle/kisah-masyarakat/tragedi-meruntun-jiwa-mayat-nenek-di-tepi-jalan-cucu-2-bulan-reput-masih-dalam-buaian-bikin-sebak
Jika disenaraikan satu persatu 10 anak mangsa ialah Yahya, Rakan, Ruslan, Jubran, Eve, Revan, Sayden, Luqman dan Sidra.
Menurut cerita Pengarah Bangunan Kanak-Kanak Kompleks Perubatan Nasser, Dr Ahmed al-Farra, rata-rata doktor wanita lain jatuh terduduk kerana terlalu sedih dan marah.
"Lepas pengebumian, dia terus ke hospital jenguk suami dan anak, kemudia mula jaga mereka,” katanya yang menyifatkan Dr al-Najjar seorang insan sopan, beretika dan komited dengan kerja.Dr al-Farra berkata, rakan setugasnya itu sentiasa risaukan anak-anak sewaktu bertugas di hospital selepas mendengar berita rumah di kawasan Qizan al-Najjar dibom.
"Naluri seorang ibu ini kuat dan dia memang tak sedap hati. Dia kata tak ada perkataan yang cukup untuk gambarkan kehilangan tu.
Ya ALLAH terlalu pilu memikirkan kehilangan anak yang bukannya satu tapi sembilan orang sekali gus. Bermain-mainlah si comel di taman syurga dan tunggulah ibu bapa kamu nanti ya!