'Dulu cuci pinggan, kini harumkan nama negara.' Nasi kerabu ‘licin’ di UAE, Malaysia rangkul juara dunia

Iklan

PENYERTAAN cef-cef hebat dari 12 negara dengan pelbagai menu masakan yang hebat tidak menghalang pasukan kulinari Malaysia untuk merangkul gelaran juara di Ekspo Kulinari Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2025 pada minggu lalu.

Tujuh orang cef dari Malaysia bersama-sama mencipta juadah tradisional yang dinobatkan sebagai Juara Makanan Tradisi Dunia.

Iklan
Iklan

Menurut laporan Harian Metro, Cef Muhammad Azzam Omar, 30, selaku ketua pasukan amat berbangga dengan pencapaian ini selepas penat lelah selama tiga bulan akhirnya menemukan memori indah yang tidak akan dilupakan seumur hidup.

Cabaran yang paling besar dalam pertandingan ini ialah mereka hanya diberikan masa tiga jam sahaja untuk menyediakan enam jenis menu. Antaranya nasi kerabu, rendang ayam, otak-otak, udang sambal, kuih keria dan kuih puteri dua sebilik.

Iklan

Debaran mula reda sebaik sahaja melihat juri menghabiskan nasi kerabu sehingga licin. Malah, ada juri yang menambah kerana tidak puas menikmati rasa autentik masakan Pantai Timur Malaysia itu.

Iklan

Pertandingan tahunan ini turut menyaksikan Syria merangkul naib juara dan Perancis di tempat ketiga.

Lebih membanggakan negara apabila pasukan ini diketuai oleh mentor, Cef Syafiq Shahrom, 29, yang cukup dikenali di pentas antarabangsa dalam bidang kulinari. Beliau yang kini berkhidmat di salah sebuah hotel terkemuka di Dubai pernah mengharumkan nama negara di IKA Culinary Olympic dan juga dinobatkan sebagai Duta Cef Muda Asia pada tahun 2020.

Beliau yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang kulinari merasakan kemenangan ini adalah luar biasa kerana menyangkakan menu Perancis dan Itali lebih memikat hati juri. Namun, kali ini berlaku sebaliknya.

Pencapaian ini mampu membuka mata semua bahawa kerjaya ‘tukang masak’ boleh memberikan impak besar dalam hidup.

Cef Syafiq turut berkongsi kisahnya yang mana sewaktu remaja, beliau hanya bekerja sebagai pencuci pinggan di gerai. Kini, beliau bersyukur kerana berpeluang untuk pergi ke merata tempat sambil membawa budaya Malaysia dalam bentuk masakan.