BAGI para pendidik yang diamanahkan mengajar di pelosok pedalaman, perjalanan menuju ke sekolah bukan sekadar soal masa, tetapi juga satu cabaran dalam menghadapi kemudahan pengangkutan yang terbatas.
Baru-baru ini, kisah seorang guru tabah bernama Abdul Malik mencuri perhatian ramai.
Menurut perkongsian yang tular, Abdul Malik sudah lebih dua dekad mencurah bakti di salah sebuah sekolah dekat Kerala, India, namun dia terpaksa meredah cabaran demi cabaran sebelum sampai ke tempat kerjanya.
Difahamkan, guru lelaki tersebut terpaksa menempuh perjalanan lebih tiga jam dengan menaiki bas setiap hari. Itu bukan sahaja satu rutin yang memenatkan, malah banyak menghabiskan masa di atas jalan.
Meskipun ada pilihan untuk duduk selesa di dalam bas, Abdul Malik memilih untuk meredah sungai Kadalundipuzha tanpa bantuan tali keselamatan selama kira-kira 15 minit.
Perkongsian yang meraih lebih 1,000 tanda kongsi itu memaparkan detik mengharukan apabila kelihatan Abdul Malik meredah sungai dengan air mencecah paras bahu.
Keadaan sungai yang dalam jelas menggambarkan risiko yang dihadapi, apatah lagi ketika musim tengkujuh yang membawa arus deras.
Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut juga terdedah kepada ancaman haiwan berbisa seperti ular air yang adakala muncul disampingnya.
"Daripada menghabiskan lebih tiga jam di dalam bas, dia memilih untuk berenang merentasi Sungai Kadalundipuzha selama 15 minit sama ada hujan mahupun panas.
"Dengan pakaian dan bekal makan tengah hari disimpan dalam beg plastik, serta sebiji tiub sebagai pelampung, dia digelar 'lelaki pelampung' oleh anak-anak muridnya," kongsi agamawan Dr Muhammad Salah.
Lebih mengagumkan lagi, guru berkenaan tidak pernah menjadikan segala kesukaran yang dihadapinya sebagai alasan untuk meninggalkan tugas.
Abdul Malik bukan sekadar mengajar matematik semata-mata, malahan turut menanamkan nilai disiplin dan menyebarkan ilmu tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada setiap anak muridnya.
Kini, Abdul Malik dikhabarkan sudah menggalas tanggungjawab sebagai guru besar di sekolahnya. Namun, semangat juangnya kekal menjadi inspirasi untuk semua.