ALHAMDULILLAH! Pelakon, Amar Baharin dan Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarudin atau Qobin selamat sampai di Madinah pada 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu tempatan) hari ini.
"Alhamdulillah, Allahumma solli ala saiyidina Muhammad.
"Tamat. #JourneyToTanahHaram," titipnya.
Menerusi hantaran di Instagram, Amar berkongsi catatan aplikasi Strava yang menunjukkan jarak, masa, kelajuan, ketinggian dan peta laluan yang ditempuh mereka.
Kedua-duanya tiba selepas berkayuh dari pekan akhir di Al Henakiyah pagi tadi sejauh 115 kilometer.
Amar, 40, menyifatkan pengembaraan itu sebagai perjalanan 'epik' buat dirinya yang amat mencabar mental serta fizikal termasuklah terpaksa mengharungi cuaca panas dengan suhu mencecah 50 darjah Celsius.
"Perasaan saya amat terharu, tergamam dan tak sangka boleh sampai ke Madinah dengan mengembara melalui jalan darat menggunakan basikal sebagai kenderaan utama. Kami berdua tak sabar untuk ke Masjid Nabawi untuk ziarah Makam Rasulullah," katanya.


Sementara itu, Qobin yang juga pendaki Malaysia pertama menawan Malaysia Gunung Everest menzahirkan kesyukuran kerana berjaya menamatkan pengembaraan itu dengan selamat.
"Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami berdua menjejakkan kaki ke bumi Madinah dengan sebahagian besarnya berkayuh basikal, (menaiki) kenderaan darat dan udara.
"Kami berdua bukanlah mahu mencipta apa-apa rekod, kami hanya mahu mencapai impian bersama untuk berkayuh basikal dan mengembara dari tanah air ke bumi Madinah," katanya.
Sebelum ini, Amar dan Qobin memulakan kayuhan dari Perlis dan dilepaskan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu bermula di Padang Besar pada 27 April lalu.
Duo berkenaan merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran, sebelum tiba di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Sekadar info, Amar dan Qobin tiba di Madinah lebih awal daripada jangkaan asal iaitu dua hingga tiga hari lagi.
Bagaimanapun, misi yang dirancang untuk melalui trek di India dan Pakistan sebelum ke Iran terpaksa diubah haluan susulan konflik melibatkan kedua-dua negara berkenaan.