HILANG sebutir permata seni negara apabila apabila pelakon dan pelawak popular era 80-an, Khairul Azhar menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Sri Andalas, di sini, pada jam 10.37 malam tadi.
Allahyarham yang berusia 70 tahun difahamkan ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta oleh pembantu peribadinya sebelum pasukan perubatan yang dihubungi mengesahkan dia telah meninggal dunia.
Arwah yang cukup sinonim dengan sitkom Santan Berlada bukan hanya dikenali sebagai pelakon dan pengacara, malah dia juga merupakan sebahagian daripada trio legenda bersama dua lagi pelawak tersohor, Allahyarham Ali Mamak dan Accapan.
Ketiga-tiganya pernah merakamkan sebuah album dan mencipta fenomena tersendiri dalam dunia hiburan tanah air.
Dengan pemergian Khairul, ketiga-tiga anggota kumpulan Santan Berlada telah kembali ke rahmatullah, sekali gus menutup tirai satu era lawak yang pernah menghiburkan jutaan rakyat Malaysia.
Berita pemergian Allahyarham turut menyentuh hati ramai rakan industri, termasuk penyanyi era 90-an, Anna Zanariah yang pernah bekerjasama dengan arwah sejak 1997.
Melalui hantarannya di Instagram, Anna tidak dapat menyembunyikan kesedihan atas kehilangan insan yang dianggap sebagai mentor dalam dunia seni.
"Tahun 1997 zaman bergelar artis, aku dah kenal arwah. Kali pertama jumpa di RTM untuk program HMI. Aku segmen nyanyi, arwah segmen komedi.
"Tiba-tiba boleh pula jumpa di organisasi yang sama. Terus bekerjasama sejak tahun 2000/2001 hingga arwah bersara wajib.
"Dah bersara pun, sambung lagi kontrak beberapa tahun sebab ‘big boss’ suka. Terlalu banyak kenangan bersama. Arwah selalu jadi tempat rujukan kalau aku dapat job emcee.
"Selamat pulang abang Khairul Azhar Santan Berlada... Dah tak ada dah mentor saya. Pergi di malam Jumaat yang mulia. Didoakan syurga buat abang Khairul Azhar. Insya-ALLAH, aamiin ya rabbal aalamin,” tulisnya sebak," tulisnya.
Menurutnya lagi, arwah tidak pernah lupa untuk mengucapkan selamat ulang tahun buatnya, dan pada 13 Mei lalu menjadikan ucapan terakhir yang diterima.
"Tiada lagi ucapan hari lahir daripada abang Khairul buat Anna selepas ini," luahnya sebak.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Uda, Klang selepas solat Jumaat, hari ini.
Untuk rekod, arwah yang dilahirkan pada 1 April 1955 juga bergiat aktif dalam bidang muzik sebagai pemain dram kombo Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Selain sitkom Santan Berlada, arwah turut membintangi pelbagai drama, telefilem dan filem. Antara yang paling diingati ialah penampilannya dalam filem Mat Som bersama Imuda.
Al-Fatihah.