'Bukan Sekadar Kopi', Nasken Coffee kini miliki 43 cawangan, sasar penyenaraian di Bursa Malaysia

Iklan

NASKEN Coffee bukan nama asing lagi dalam dunia kafe tempatan.

Ditubuhkan pada Disember 2019 di Pasir Tumboh, Kelantan, jenama ini bermula dengan satu aspirasi yang cukup besar, untuk membawa cita rasa warisan Malaysia ke dalam suasana yang moden, selesa dan mesra pelanggan.

Bermula secara sederhana, hari ini Nasken telah berkembang dengan pesat dan memiliki sebanyak 43 cawangan di seluruh negara. Pembukaan cawangan terbaharu di Presint 15, Putrajaya menjadi satu lagi detik penting dalam perjalanan mereka.



Majlis perasmian cawangan ke-43 itu turut dihadiri oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau memuji semangat dan profesionalisme pasukan Nasken yang dilihat mampu bersaing dengan jenama-jenama besar.

Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan Nasken melambangkan potensi besar usahawan muda Malaysia yang bukan sekadar berniaga untuk keuntungan, tetapi turut membina kekuatan ekonomi negara.

Selain terkenal dengan pelbagai jenis kopi, Nasken juga menyediakan menu makanan barat serta kek yang menjadi antara tarikan utama pelanggan. Di sebalik kejayaan yang dicapai, Nasken membawa semangat dan misi yang jauh lebih besar.

Iklan


Di bawah slogan ‘Bukan Sekadar Kopi’, mereka mahu setiap cawangan menjadi ruang untuk komuniti berkumpul, berkongsi cerita dan menyemai semangat anak Malaysia.

Menurut pengasasnya, Mohd Nazif Ab Aziz, Nasken kini berada dalam fasa persediaan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang akhir 2026.

Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mengukuhkan kedudukan dan meluaskan pasaran ke peringkat ASEAN serta Timur Tengah.