MUSIM haji saban tahun menyaksikan jutaan umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Tanah Suci Makkah bagi menunaikan rukun Islam kelima. Namun, tidak semua yang berniat menunaikan ibadah ini mampu berbuat demikian secara sah.
Menurut laporan Tempo.co, seorang warga Indonesia yang dikenali sebagai SM telah disahkan meninggal dunia akibat dehidrasi selepas terkandas di kawasan padang pasir Al-Jumum, Arab Saudi.
SM bersama dua lagi warga Indonesia, dikenali sebagai J dan S, dipercayai cuba memasuki Makkah tanpa visa haji yang sah melalui laluan tidak rasmi, merentasi kawasan gurun dalam cuaca yang sangat panas.
Sebelum tragedi itu, SM dan kumpulan yang terdiri daripada 10 orang rakyat Indonesia pernah ditahan pihak berkuasa Arab Saudi dalam satu operasi keselamatan menjelang musim haji.
Mereka kemudiannya dihantar pulang ke Jeddah. Namun, enggan menyerah kalah, SM bersama J dan S kembali mencuba nasib untuk memasuki Makkah secara haram.
Mereka dipercayai menggunakan visa lawatan biasa yang sah untuk melancong atau tujuan perniagaan tetapi tidak dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji.
Ini adalah salah satu taktik biasa yang digunakan oleh mereka yang ingin menunaikan haji tanpa melalui saluran rasmi atau kuota negara asal.
Apa yang menyedihkan, mereka dilaporkan telah menggunakan khidmat pemandu teksi untuk menghantar ke Makkah.
Namun, pemandu tersebut yang bimbang ditahan pihak berkuasa telah menurunkan mereka di tengah padang pasir yang kering kontang.
Dengan suhu yang mencecah lebih 50 darjah Celsius dan tanpa bekalan air serta perlindungan yang mencukupi, ketiga-tiganya terkandas.
Dalam keadaan yang sangat ekstrem itu, SM akhirnya meninggal dunia akibat dehidrasi sebelum pasukan keselamatan Arab Saudi berjaya mengesan lokasi mereka menggunakan teknologi dron. Dua lagi mangsa, J dan S, berjaya diselamatkan dan kini sedang dirawat di hospital di Makkah.
Menurut Konsul Jeneral Republik Indonesia di Jeddah, Yusron Ambary, jenazah SM kini berada di hospital untuk urusan dokumentasi dan pengurusan visa.
Pihak konsulat turut menghubungi keluarga mangsa di Madura, Indonesia untuk mengatur urusan pengebumian.
Berikutan kes ini, Yusron turut mengeluarkan nasihat keras kepada semua rakyat Indonesia agar tidak terpedaya dengan mana-mana tawaran untuk menunaikan haji menggunakan laluan haram atau visa tidak sah.
Beliau menekankan bahawa perbuatan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga mengancam keselamatan dan nyawa.
Ketatnya kuota dan kos yang tinggi sering mendorong sebilangan individu mengambil jalan pintas – termasuk laluan haram yang berisiko tinggi.