Amar Baharin syukur selesai tunaikan amanah infak , agih makanan kepada jemaah di Masjid Nabawi

Iklan

Pelakon Amar Baharin berjaya menyempurnakan misi kayuhan ke Madinah dan menyampaikan amanah infak kepada jemaah Masjid Nabawi menerusi restoran tempatan di sana.

PELAKON Amar Baharin meluahkan rasa syukur selepas berjaya menyelesaikan amanah wang infak yang dikirimkan oleh orang ramai sepanjang perjalanan kayuhannya ke Tanah Suci.

Menerusi satu hantaran di Instagram, pemilik nama sebenar, Amar Mohd Baharin itu memaklumkan, wang tersebut diserahkan kepada sebuah restoran di Madinah untuk menyediakan makanan kepada para jemaah di Masjid Nabawi.

"Alhamdulillah, semua duit infak (yang diberi sebelum mula perjalanan, di tengah perjalanan dan sesudah sampai di Tanah Haram Madinah) telah saya infakkan menerusi Restoran @paktam.madinah untuk diagihkan kepada jemaah di Masjid Nabawi,” katanya.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Suami kepada pelakon Amyra Rosli itu turut mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan orang ramai yang sudi berkongsi rezeki, serta mendoakan agar setiap kebaikan tersebut menjadi pahala berpanjangan.

"Semoga menjadi ladang pahala buat semua yang menginfaqkan harta mereka ke jalan ALLAH,” ujarnya lagi.



Untuk rekod, Amar memulakan misi kayuhan Journey to Tanah Haram bersama sahabatnya, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (Qobin), dari Perlis sejak 27 April lalu.

Misi tersebut berjaya disempurnakan apabila kedua-duanya tiba di Masjid Nabawi pada jam 10.45 pagi waktu Arab Saudi (3.45 petang waktu Malaysia) pada Khamis lepas.

Mereka dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat ini.